Malaysia ‘tunggu dan lihat’ krisis Qatar kerana banyak kawan, kata Hamid Albar

syed-hamid

KUALA LUMPUR: Tan Sri Syed Hamid Albar berkata beliau memahami pendirian Datuk Seri Najib Razak yang tidak membuat sebarang kenyataan jelas mengenai krisis terkini di Timur Tengah yang menyaksikan Qatar menjadi sasaran beberapa negara diketuai Arab Saudi.

Bekas menteri luar itu berkata pendekatan “tunggu dan lihat” itu ialah kerana Malaysia rapat dengan semua negara Arab yang terlibat dalam krisis itu.

“Banyak negara di Timur Tengah, perhubungan Malaysia amat akrab dan baik. Jadi Malaysia kena teliti dan kena berkhemah dengan tindakan yang hendak diambil ataupun keputusan, atau apa-apa kenyataan yang hendak dibuat,” katanya dalam wawancara bersama FMT baru-baru ini.

Syed Hamid bagaimanapun berkata Malaysia boleh memainkan peranan mendamaikan hubungan antara negara Arab seperti Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang memutuskan hubungan dengan Qatar di samping mengenakan pelbagai sekatan perdagangan dan perjalanan.

“Mungkin kita boleh buat beberapa rumusan, apakah perkara ini dapat dirumuskan di meja perundingan atau dibawa ke meja bulat,” katanya.

Arab Saudi menuduh Qatar menyokong organisasi yang disifatkannya sebagai “pengganas”, dan menamakan beberapa kumpulan termasuk Ikhwanul Muslimin dan tokoh ulama Yusuf al-Qaradawi sebagai pendokong keganasan.

Keputusan itu menerima sokongan pentadbiran Presiden Donald Trump, yang baru-baru ini menyertai Arab Saudi dan beberapa negara Islam termasuk Malaysia dalam persidangan mengenai keganasan.

Bagaimanapun, Syed Hamid berkata peranan yang boleh dimainkan Malaysia amat terhad, kerana negara yang terlibat mempunyai pertubuhan serantau mereka yang sendiri seperti Liga Arab dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

“Jadi kita nak pandai-pandai dan gopoh, mungkin kita akan buat kesilapan,” katanya.

Katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) juga sukar memainkan peranan.

“OIC juga berada di Jeddah (Arab Saudi) dan OIC tidak boleh mengambil langkah melainkan ada ahli yang meminta OIC untuk memainkan peranan.

“Untuk memainkan peranan, memerlukan kesepakatan. Bukan boleh main masuk sahaja. Kena ada perundingan,” katanya.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/05/qatar-tunggu-dan-lihat-kata-najib/