P Pinang kekal dengan cukai sendiri, kata Guan Eng

limguaneng-cukaiGEORGE TOWN: Pulau Pinang tetap meneruskan kutipan cukai kerajaan tempatan bagi perkhidmatan penginapan walaupun kerajaan persekutuan minta menghentikan kutipan itu untuk memberi laluan kepada cukai pelancongan tunggal yang akan dilaksanakan di seluruh Malaysia.

Ketua Menterinya, Lim Guan Eng membuat pendirian itu hari ini berkata, beliau terkejut dengan cadangan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz yang mahu mengenakan cukai pelancongan tunggal dan meminta setiap negeri menghentikan kutipan cukai versi masing-masing.

“Kami berbeza pendapat dengan menteri tersebut terhadap penamatan cukai kerajaan tempatan ke atas penginapan kerana perkara itu tidak dibangkitkan semasa perbahasan (Akta Cukai Pelancongan) di Parlimen,” kata Lim kepada pemberita di Komtar.

Cukai pelancongan itu dijadualkan berkuatkuasa pada 1 Julai di mana hotel dijadikan sebagai ejen mengumpul dana untuk kerajaan. Kadar cukai tersebut dari RM2.50 hingga RM20 bagi penginapan semalaman mengikut taraf bintang masing-masing.

Laporan The Sun Daily memetik Nazri sebagai berkata negeri yang melaksanakan caj mereka sendiri untuk penginapan diminta menghentikan kutipan itu apabila cukai pelancongan persekutuan dikuatkuasakan.

Beliau berkata akan bercakap dengan kerajaan negeri terbabit untuk membolehkan sistem cukai tunggal dan mengelakkan pertindihan caj yang menjadi tidak produktif dalam mempromosikan pelancongan.

Pulau Pinang, Langkawi dan Melaka antara negeri yang mempunyai cukai bagi penginapan.

Di Pulau Pinang, penginapan hotel 4 dan 5 bintang dikenakan bayaran RM3 semalaman untuk setiap bilik, manakala RM2 untuk bilik di hotel 3 bintang dan lebih rendah. Caj RM2 juga dikenakan untuk doom, hotel bajet, asrama dan rumah tamu. Bayaran itu dikutip sejak 2014.

Di Langkawi, Kedah, bayaran tambahan RM9 dikenakan semalaman untuk semua bilik hotel dan negeri itu turut mempunyai cukai warisan sebanyak RM2 semalaman tanpa mengira jenis bilik.

Lim berkata peratusan daripada wang yang dikutip daripada cukai pelancongan negara perlu dikembalikan kepada negeri masing-masing.

“Saya percaya ramai yang tidak rasa kesannya dengan RM3 untuk hotel tetapi berbeza dengan RM20,” katanya sambil mencadangkan cukai pelancongan itu hanya dikenakan ke atas pelancong asing.

Terdahulu, Lim mengedarkan sumbangan Raya tahunan bernilai RM10,000 kepada setiap angkatan polis dan tentera.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Chuah Ghee Lye dan ketua kakitangan Briged Ke-6 Angkatan Tentera Malaysia Leftenan Kolonel Mohd Yusoff Nor menerima sumbangan itu.