Putrajaya bentang akta cukai pelancongan walau kami bantah, kata Sabah

masidi-manjun_sabah_pelancong_600

PETALING JAYA: Kerajaan negeri Sabah hari ini menolak anggapan ia tidak pernah membantah Akta Cukai Pelancongan 2017, dan berkata negeri itu bersama-sama jirannya Sarawak membuat bantahan 6 bulan sebelum undang-undang itu diluluskan April lalu.

Menurutnya, Sabah pernah mengeluarkan kenyataan membantah cadangan cukai itu seawal September tahun lalu.

Susulan itu, kedua-dua kerajaan negeri Sabah dan Sarawak juga bersetuju bekerjasama untuk mewujudkan pendirian bersama mengenai cadangan cukai pelancongan itu, katanya.

“Bagaimanapun, kerajaan persekutuan meneruskan penggubalan Akta Cukai Pelancongan 2017 untuk mengenakan cukai ke atas semua pelancong, seperti yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini,” kata Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Kenyataan beliau di sebalik dakwaan beberapa pihak yang mempersoalkan pihak berkuasa dan ahli politik kedua-dua negeri itu kerana hanya sekarang membantah cukai tersebut, susulan kontroversi komen Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz terhadap rakan sejawatnya dari Sarawak kerana mengkritik cukai itu.

Cukai pelancongan itu bakal berkuat kuasa pada 1 Julai, dan akan menyaksikan hotel seluruh negara mengenakan caj tambahan antara RM2.50 dan RM20 untuk setiap malam penginapan.

Menteri Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah pada Sabtu lalu menggesa Putrajaya menangguhkan cukai itu, disambut dengan kenyataan tajam daripada Nazri yang menyifatkan beliau tidak berpengalaman.

“Awak baru setahun jagung. Jangan cakap banyaklah,” kata Nazri, mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk rakan Kabinet dari Sabah.

Masidi berkata pihaknya bersetuju dengan dakwaan yang kedua-dua Sabah dan Sarawak tidak dibawa berunding sebelum Akta Cukai Pelancongan digubal.

Akta itu diluluskan pada sesi Dewan Rakyat yang tamat pada awal pagi pada 6 April lalu.

Masidi berkata kedua-dua negeri akan bermesyuarat untuk menentukan pendirian mereka mengenai cukai itu.