Rewcastle-Brown tolak pelawaan Khalid ke Malaysia

claire-igpPETALING JAYA: Clare Rewcastle-Brown menolak pelawaan ketua polis negara untuk kembali ke Malaysia bagi memberi maklumat berhubung dakwaanya terhadap RM9.5 juta yang dipindahkan dari akaun perdana menteri kepada peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Ini kerana, kata editor Sarawak Report itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang boleh menjamin perjalanan selamat untuknya, enggan berbuat demikian.

“Sarawak Report ingin mengucapkan terima kasih kepada ketua polis negara untuk pelawaannya melawat beliau di Malaysia, bagi menyalurkan maklumat.

“Bagaimanapun, kami mendapati beliau enggan menawarkan ‘laluan selamat’. Jadi, kami akui ia ialah penghalang kecil,” katanya menerusi catatan dalam Twitter Sarawak Report hari ini.

Rewcastle-Brown mengulas kenyataan Khalid enggan menjamin perjalanan selamat kepadanya, jika beliau memutuskan untuk datang ke Malaysia bagi membuktikan semua dakwaan yang dibuat melalui laman webnya.

Beliau berkata, Rewcastle-Brown menjejaskan reputasi polis selain melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap dirinya dan individu lain di Malaysia, dengan kebanyakan laporan dan dakwaan Sarawak Report sekadar khabar angin.

Dalam pada itu, Rewcastle-Brown berkata, beliau sedia memberi maklumat kepada Khalid mengenai perkara yang beliau ingin tahu.

Katanya, untuk mengesahkan laporan Sarawak Report, Khalid hanya perlu memujuk peguam negara membuka semula fail pasukan petugas berhubung 1MDB kerana semua pendedahan itu dibuat berdasarkan maklumat dalam fail berkenaan.

Terdahulu, Khalid dilaporkan berkata, Rewcastle-Brown yang berpangkalan di London, berdendam dan “beliau mahu mendedahkan sedikit demi sedikit dengan membuat semua dakwaan itu dari luar negara”.

Ditanya jika polis akan menyiasat Shafee berhubung dakwaan menerima RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak, Khalid berkata, beliau sebelum ini “mempelawa” Rewcastle-Brown membantu siasatan mereka.

Baru-baru ini, portal itu menyiarkan satu artikel mendakwa RM9.5 juta dibayar daripada akaun bank peribadi Najib dalam 2 bayaran, pada September 2013 dan Februari 2014.

Rewcastle-Brown dilaporkan berkata, polis Malaysia boleh pergi ke United Kingdom, jika mereka mahu bercakap dengannya.