Suka atau tidak, Sarawak akan kena cukai pelancongan, kata Karim

KarimHamzahPETALING JAYA: Menteri Pelancongan, Budaya, Belia dan Sukan Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah akur negerinya akan dikenakan cukai pelancongan baharu bermula 1 Julai ini walaupun beliau meminta ia ditanggungkan.

Ini kerana kuasa percukaian terletak pada kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Bagaimanapun beliau menegaskan cara pelaksanaan cukai itu tidak adil.

“Jika anda baca Akta Cukai Pelancongan 2017, pada 1 Julai, hotel di seluruh negara, termasuk Sarawak, mesti mendaftar untuk cukai berkenaan.

“Jika mereka tidak mendaftar dalam masa 30 hari, mereka akan dihukum. Ini adalah sesuatu yang kita rasakan tidak wajar.

“Anda tidak boleh mengenakan peraturan seperti ini di negeri kita tanpa berunding terlebih dahulu,” kata Karim ketika dihubungi.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz sebelum ini memberitahu FMT, perkara itu sudah dirundingkan dengan kerajaan Sarawak melalui wakilnya di Kabinet dan Parlimen, di mana akta itu dibentangkan dan diluluskan.

Ditanya mengenai perkara itu, Karim berkata menteri di Kabinet dan ahli Parlimen berkenaan tidak mewakili kerajaan negeri “walaupun mereka berasal dari Sarawak”.

Ini kerana menteri persekutuan dikantik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan bukannya kerajaan negeri, katanya.

“Sekiranya kita melihat kembali semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), sepatutnya mesyuarat jawatankuasa antara kerajaan diadakan setiap 10 tahun.

“Jawatankuasa inilah yang satu-satunya mewakili negeri dan kerajaan persekutuan, jika dia (Nazri) mahu tahu.

“Tetapi selepas 1963, jawatankuasa itu hanya mempunyai 1 mesyuarat.”

Karim juga menegaskan walaupun cukai tertakluk di bawah kerajaan persekutuan, pelancongan sentiasa “milik” Sarawak.

Karim, yang merupakan peguam, berkata perkara pelancongan tidak dibincangkan ketika MA63 ditandatangani oleh Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak.

Inilah sebabnya bidang pelancongan tidak dimasukkan ke Senarai Persekutuan, Senarai Negeri atau Senarai Bersama dalam Perlembagaan Persekutuan, dan menambah perkara itu sepatutnya dimasukkan ke Senarai Residual.

“Jadi kuasa menentukan perkara itu terpulang kepada kerajaan negeri, dan itulah sebabnya kita anggap pelancongan sebahagian dari tanggungjawab kita.

“Tetapi Perlembagaan Persekutuan dipinda pada 1994. Tiba-tiba pelancongan diletakkan dalam Senarai Persekutuan dan perkara itu dan dianggap sebagai perkara di bawah bidang kuasa kerajaan persekutuan.

“Sarawak tidak dimaklumkan mengenai pindaan itu,” katanya.

Cukai pelancongan baharu akan berkuat kuasa pada 1 Julai, dan akan melihat hotel di seluruh negara mengenakan bayaran antara RM2.50 dan RM20 semalaman.

Nazri berkata pendapatan daripada cukai itu sekitar RM654.62 juta jika kadar penginapan keseluruhan untuk 11 juta “bilik bermalam” mencapai 60%.