Video viral jadi bukti, warga emas didakwa dera kanak-kanak

senior-citizen-abusePETALING JAYA: Seorang wanita berusia 62 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini krana mendera seorang kanak-kanak di Puchong, tahun lalu, berdasarkan rakaman video yang viral baru-baru ini.

V Tanawali didakwa di bawah Seksyen 31(1)(b) Akta Kanak-kanak kerana mendera kanak-kanak perempuan berusia 6 tahun menggunakan rotan di muka, tangan, kaki dan badan mangsa. Warga emas itu dipercayai ialah nenek saudara mangsa.

Tanawali dikatakan melakukan kesalahan itu yang dirakamkan dalam video pada September 2016 di Taman Puchong Perdana.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara maksimum 20 tahun atau didenda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya. Pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil kepada Tanawali.

Hakim Mahkamah Sesyen, Mohammed Mokhzani Mokhtar membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Julai untuk sebutan semula kes itu.

Terdahulu, timbalan pendakwa raya, Suloshani Vijendran memohon mahkamah tidak membenarkan ikat jamin kerana warga emas melakukan jenayah serius.

Bagaimanapun, Suraj Singh meminta mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tiada risiko Tanawali akan melarikan diri.

Katanya, warga emas itu menghidap penyakit kencing manis dan keretakan tulang kakinya yang memerlukan rawatan tetap di hospital.

Dalam rakaman video selama 2 minit 49 saat yang tersebar sejak 5 Jun lalu itu, seorang wanita dilihat memaksa seorang kanan-kanak berhenti makan sebelum memukulnya dengan rotan.

Wanita itu memukul sambil memarahi mangsa yang didakwa menyebabkan makanan tertumpah di luar pinggan.

Ketika membelasah mangsa yang menjerit kesalahan dan menangis dengan teresak-esak, wanita itu menukar baju kanak-kanak terbabit sebelum menamparnya beberapa kali dan menendangnya.

Suspek kemudiannya mencabar orang yang merakamkan video itu menghantarnya kepada media. Identiti orang itu bagaimanapun tidak diketahui.

Polis bertindak pantas dengan menahan wanita itu pada 6 Jun lalu.