6 didakwa merusuh di luar surau JB

suraugaduh

JOHOR BAHRU: Enam lelaki termasuk 3 anggota Rela dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas dakwaan mencetuskan rusuhan di luar surau di Taman Austin Perdana, Johor Bahru (JB), pada 5 Mei lalu.

New Straits Times melaporkan 3 anggota Rela – Nor Hazman Hashim, 45; Norfriandika Kusuma Irfandi, 22; Robert Bajak, 36; pelayar, Hazlan Masahat, 55; pekerja kilang, Muhammad Akhmarul Naim Amir, 22; dan juruteknik cahaya, Toh Chai Eun, 29.

Mereka mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu dan menuntut dibicarakan. Toh dikatakan ialah mangsa dalam pergaduhan di luar surau itu.

Timbalan pendakwa raya, Muhammad Mohd Nasir meminta ikat jamin RM6,000 bagi setiap tertuduh didakwa di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Majistret, Salina Omar membenarkan ikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, dan menetapkan 17 Julai ini untuk sebutan semula kes tersebut.

Bulan lalu, seorang lelaki dilaporkan dipukul dan keretanya dirosakkan sekumpulan lelaki kerana membunyikan hon akibat kesesakan dan halangan di luar sebuah surau di Austin Perdana, ketika umat Islam menunaikan solat Jumaat.

Dua rakaman kejadian itu menjadi tular di media sosial dengan sekumpulan lelaki dilihat mengepung dan memukul sebuah kereta jenis Toyota Camry yang cuba beredar, tetapi gagal kerana laluan terhalang.

Pemandu cuba berundur dan hampir melanggar seorang lelaki yang menendang kereta itu. Ia disusuli seorang lelaki menghentakkan topi keledar di cermin belakang kereta sehingga pecah.

Kereta itu kemudian berhenti dan sekumpulan lelaki terus meluru ke bahagian pemandu dan memukul pemandu yang keluar daripada kereta tersebut. Pemandu juga dipukul seorang lelaki berjubah dan berkopiah dengan kon plastik warna jingga.

‘Kes pukul depan surau selesai cara baik’

‘Dihenyak’ di luar surau akibat hon kerana kereta terhalang