Azalina tolak dakwaan BTN bersifat perkauman

btn-azalina-othman-malaysiaPETALING JAYA: Putrajaya menafikan dakwaan program Biro Tata Negara (BTN) bersifat perkauman, sebaliknya berkata ia bertujuan meningkatkan jati diri dan semangat cintakan negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, yang mengulas dakwaan Amanah semalam, berkata kerajaan juga sudah pun menjalankan “penjenamaan” semula BTN supaya mencerminkan kepelbagaian kaum dan bebas daripada politik parti.

“Pada awal tahun 2016, saya telah membentuk satu panel khusus bagi penjenamaan semula BTN yang ahli-ahlinya terdiri daripada pelbagai kaum yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada Majlis Profesor Kebangsaan dan ahli Parlimen termasuk seorang wakil daripada pihak pembangkang,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata BTN bertanggungjawab menyemai keganasan melalui program yang bersifat perkauman dan menghentam pemimpin yang tidak sehaluan dengan parti pemerintah.

Salahuddin berkata 70% modul BTN menjurus kepada kebencian perkauman dan agama, dan hanya 30% benar-benar melibatkan tatanegara.

Azalina berkata tuduhan itu tidak berasas, dan berkata pembangkang hanya mahu bermain politik.

“Dakwaan yang dibuat itu juga menunjukkan yang pemimpin Amanah itu tidak pernah menghadiri kursus BTN,” katanya.

BTN ada saham menyemai keganasan, kata Amanah