Enggan putus dengan Qatar, UAE usir peserta tilawah Somalia

somalia-uaeSOMALIA: Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengusir peserta Somalia yang mengambil bahagian dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di negara itu.

Ismail Omar Matar dipetik akhbar Qatar, The Peninsula sebagai berkata, pihak berkuasa memberitahu penyertaannya ditamatkan dalam acara yang bermula minggu lepas, dipercayai berpunca daripada keengganan kerajaan Somalia memutuskan hubungan dengan Qatar.

“Pada petang Isnin, jawatankuasa pertandingan dan pihak berkuasa UAE beritahu saya tidak akan meneruskan pertandingan itu.

“Saya terkejut kerana berharap akan jadi pemenang, malangnya ini berlaku kepada saya yang merupakan satu hukuman,” katanya di negara Teluk itu semalam.

Pada 5 Jun lepas, Arab Saudi dan beberapa sekutunya seperti Mesir, UAE, Bahrain dan Yaman memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar.

Negara Teluk itu menuduh Qatar menyokong organisasi yang disifatkannya “pengganas” serta bersimpati dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Iran.

Mereka juga memutuskan hubungan udara dan darat yang menjadi laluan penting untuk mendapatkan bekalan harian, memaksa Qatar mendapatkan bekalan makanan dari Turki dan Iran.

Langkah memencilkan Qatar menerima sokongan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru-baru ini menyertai Arab Saudi dan beberapa negara Islam, termasuk Malaysia dalam persidangan mengenai keganasan.

Kementerian Luar Somalia pula menggesa “semua negara bersaudara terlibat untuk menyelesaikan perbezaan yang timbul melalui dialog”.

Warga Somalia, Abdurahman Ibrahim Hassan yang berada di Dubai ketika itu memberitahu Agensi Anadolu, Ismail dimaklumkan beliau tidak boleh meneruskan pertandingan itu sebagai wakil Somalia.

“Ismail dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai dan dihantar pulang ke Somalia oleh anggota keselamatan UAE,” kata Hassan yang menyaksikan pengusiran itu.

Bagaimanapun, Dubai belum mengulas mengenai insiden itu.

Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Dubai itu adalah acara tahunan anjuran kerajaan Dubai yang diadakan setiap Ramadan.

Juara akan membawa pulang AS$68,000 (RM289,547), sementara AS$54,000 (RM231,639) untuk naib juara dan AS$40,800 (RM173,729) bagi tempat ke-3.