Kebakaran bangunan di London, ini kaitannya dengan umat Islam

Grenfell-Tower
PETALING JAYA: Di kala umat Islam terpaksa berdepan reaksi marah setiap kali sesuatu serangan keganasan dikaitkan dengan orang seagama, lain pula reaksi yang menyambut mereka dalam insiden kebakaran sebuah bangunan di barat London yang setakat ini meragut 12 nyawa.

Akhbar The Independent melaporkan kebanyakan penghuni di Grenfell Tower yang musnah terbakar pada awal Selasa tidak dikejutkan oleh alat penggera kebakaran, sebaliknya oleh penghuni beragama Islam yang sudah pun terjaga untuk bersahur di bulan Ramadan.

“Orang Islam memainkan peranan besar dalam menyelamatkan penghuni,” kata penduduk Andre Barroso, 33.

“Kebanyakan mereka ketika itu umat Islam. Mereka juga membekalkan pakaian dan makanan.”

Akhbar itu juga melaporkan bagaimana gereja, masjid dan kuil membuka pintu mereka untuk menempatkan mangsa kebakaran bangunan 24 tingkat itu.

Pusat aktiviti tertumpu di Gereja St Clement’s yang berdekatan, Masjid Al-Manaar di utara Kensington, di samping sebuah kuil Sikh yang menawarkan bantuan.

Masjid Al-Manaar mengumumkan “semua orang sama ada beragama atau tidak beragama dialu-alukan masuk dan rehat, tidur atau menikmati minuman dan makanan.”

Seorang aktivis daripada pertubuhan kebajikan Islam, Islamic Relief merupakan antara yang terawal terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa dan mengerah sukarelawan.

Zia Salik memberitahu The Independent, beliau sudah pun terjaga ketika kebakaran berlaku sekitar jam 1.00 pagi.

Menurutnya, beliau terus memanggil sukarelawan lain, yang berduyun-duyun berhimpun di sebuah masjid.

“Saya rasa pihak masjid pun tak sangka dengan sambutan yang diterima. Bilik menyimpan bantuan terlalu kecil dan dibanjiri,” katanya.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=1&v=bWajZYEGm8U