Penganjur pertahan acara buka puasa ‘Gay Iftar’

PelangiKUALA LUMPUR: Sebuah pertubuhan mengakui menganjurkan program “Iftar Gay” baru-baru ini, dengan berkata ia bertujuan untuk menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang.

“Hasratnya ialah untuk balik kepada asas dan berdialog antara satu sama lain, berkenalan dengan pegangan, budaya dan identiti masing-masing supaya kasih sayang dapat disebarkan,” kata Pelangi Campaign, kumpulan yang meraikan dalam kenyataan kepada FMT.

Jurucakap penganjur Pelangi Campaign memberitahu FMT program buka puasa itu sebahagian daripada acara sempena sambutan “Pride” seluruh dunia yang meraikan masyarakat lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), dan turut memuatkan program diskusi, tayangan filem dan majlis berbuka puasa diberi nama “Big Gay Iftar”.

Menurut Pelangi, acara itu bagi memperingati 49 individu LGBT yang terkorban dalam serangan di Kelab Malam Orlando di Florida, Amerika Syarikat pada Jun 2016 oleh pengganas IS, Omar Mateen.

“Hanya melalui ini sahaja kita dapat buktikan yang pengganas tidak akan dapat memecahkan persaudaraan dan kemanusiaan kita.

“Kepelbagaian makanan di Malaysia adalah cerminan kepada kepelbagaian kita sebagai manusia. Walaupun berbeza, tetapi semuanya tetap diraikan oleh kita semua,” kata Pelangi dalam kenyataan kepada FMT.

Penganjuran acara itu dikecam beberapa pihak, dengan pendakwah Datuk Hassan Mahmud Al-Hafiz menuduh penganjur mempermainkan hukum Allah.

“Orang yang puasa perlu ikut semua perintah Allah dan puasa ini merangkumi semua perbuatan kita.

“Sekarang ini pula wujud golongan yang tolak hukum Allah tapi terima hukum lain dan itu tidak boleh dalam Islam,” katanya dipetik Sinar Harian.