Seorang anak kapal KM Avatar selamat, 1 lagi maut

anak-kapal-km-avatarMELAKA: Dua anak kapal KM Avatar yang dilaporkan hilang selepas kapal dagang itu karam di perairan Tanjung Kling semalam, ditemui pagi ini dengan seorang daripadanya selamat dan seorang lagi meninggal dunia.

Pengarah Maritim Negeri Sembilan/Melaka, Kapten Maritim Ahmad Faridi Ferdaus berkata, kedua-duanya ditemui 11.8 batu nautika dari Tanjung Kling, dekat sini, jam 9.40 pagi tadi oleh pasukan mencari dan menyelamat.

Beliau berkata, mangsa yang ditemui hidup ialah tukang masak kapal berkenaan yang dikenali sebagai Hermawan, 35, manakala mangsa meninggal dunia ialah kapten kapal, Samuel Andianto Henuk, 52.

“Pasukan mencari dan menyelamat menemui seorang anak kapal yang terselamat di dalam rakit keselamatan dan seorang lagi meninggal dunia ditemui berada di dalam laut di lokasi berhampiran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Faridi berkata, beliau difahamkan mangsa yang terselamat berenang ke rakit keselamatan ditinggalkan 13 lagi anak kapal KM Avatar yang berjaya diselamatkan semalam.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Besar Melaka dan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut, operasi mencari dan menelamat dihentikan pada 2 petang tadi,” katanya.

Dalam kejadian 9.25 pagi semalam, KM Avatar – kapal kontena dari Indonesia karam di Selat Melaka, dipercayai akibat dipukul ombak kuat.

Kapal itu membawa 15 anak kapal dengan 13 daripadanya diselamatkan sebuah kapal dagang yang melalui lokasi kejadian, manakala 2 lagi dilaporkan hilang.