Tiada sijil kahwin, daftar lahir punca kaum India sukar dapat kewarganegaraan

Mohd-Yazid-Ramli-jpn

SHAH ALAM: Ketiadaan sijil perkahwinan dan daftar kelahiran antara punca masyarakat keturunan India di negara ini berdepan masalah dokumentasi diri dan tidak memiliki taraf kewarganegaraan, kata Ketua Pengarah Pendaftaran Negara Datuk Mohd Yazid Ramli.

Beliau berkata dokumen penting itu amat diperlukan bagi membuktikan individu yang memohon dokumentasi diri dan taraf warganegara tidak melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang terpakai di negara ini.

Beliau berkata isu dokumentasi wujud dalam kalangan masyarakat India apabila ada yang tidak mendaftarkan perkahwinan kerana berkahwin lebih daripada 1 dan hal berkenaan menyebabkan anak yang dilahirkan tidak berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Malah katanya, ada juga perkahwinan secara Islam yang dilakukan di luar negara tidak disahkan di pejabat agama negara ini menyebabkan isu pendaftaran kelahiran anak sukar dilakukan.

“Bagi perkahwinan sivil, individu hanya boleh kahwin 1, lebih daripada itu adalah salah dan tindakan tidak mendaftarkan perkahwinan itu menyebabkan kelahiran juga tidak dapat didaftarkan.

“Ia melanggar undang-undang negara ini malah menimbulkan banyak isu lain seperti pendaftaran sekolah dan sebagainya.

Disebabkan itu, kita galakkan masyarakat India menggunakan program MyDaftar yang dilaksana sehingga 22 Jun ini sebagai platform untuk mengetengahkan permasalahan yang dihadapi selain boleh dibantu untuk mengisi borang yang diperlukan untuk memohon,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Mohd Yazid meninjau proses permohonan dokumentasi dan kewarganegaraan masyarakat India dengan kerjasama Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di JPN Selangor.

Ia dibuat menerusi program MyDaftar yang dilaksanakan selaras dengan pelancaran Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 April lepas bagi membantu pembangunan kaum itu.

Mohd Yazid menyangkal dakwaan pihak tidak bertanggungjawab bahawa wujud 300,000 individu berketurunan India di negara ini tidak diiktiraf warganegara kerana menerusi rekod program MyDaftar setakat 10 hari dilaksanakan, hanya 1,358 orang hadir ke JPN untuk memohon.

“Bagaimanapun daripada jumlah itu, hanya 222 permohonan lengkap, 391 tidak lengkap manakala 745 lagi hadir bagi mendapatkan khidmat nasihat berhubung proses serta dokumen yang diperlukan untuk memohon.

Kita akan semak dahulu permohonan dan dokumen yang disertakan dan jika perlu untuk ditemuduga, kita akan panggil kerana jika mahu diberi kewarganegaraan, mereka mesti patuh kepada undang-undang,” katanya.

Mohd Yazid berkata mana-mana permohonan akan disiasat terlebih dahulu kesahihan dokumen yang disertakan memandangkan ada 5 kes dikesan cuba menipu JPN dengan mengemukakan sijil kelahiran milik orang lain.