Twitter meratapi kematian mangsa dera T Nhaveen

t-Nhaveen-twiter

PETALING JAYA: Pengguna media sosial berkongsi ucapan takziah di Twitter beberapa minit selepas T Nhaveen, 18, yang mati otak selepas dipukul dan diliwat dengan ganas Jumaat malam lalu, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata hospital memaklumkan polis yang Nhaveen meninggal dunia pada 6.00 petang tadi.

Menyusuli laporan itu, pengguna Twitter hari ini menuntut keadilan ditegakkan untuk Nhaveen.

“Kami akan dapatkan keadilan untuk kamu. Janji,” kata OfficialjoannaJ. “Harap pembuli dikenakan tuduhan membunuh,” kata Jagmeet_93 pula.

Sementara itu, pengguna Twitter juga meratapi kematian remaja itu, yang menjadi mangsa buli sejak dari zaman persekolahan.

“Nhaveen, kamu sudah pergi tetapi kamu akan sentiasa diingati. Saya tak kenal kamu tetapi hati saya remuk apabila terbaca berita itu,” kata Vinochini.

“Dia sudah tiada. Bagaimana keluarganya akan menjalani hidup mereka tanpanya. Dunia ini sangat kejam dan teruk!” kata Debhasri27.

Nhaveen diserang 5 pemuda dengan topi keledar Jumaat malam lalu. Kelima-lima mereka, berusia antara 16 hingga 19 tahun, ditahan reman kerana merusuh.

Nhaveen mengalami pendarahan dalaman dan kecederaan pada abdomen dan kemaluan. Beliau juga mempunyai kesan lecur pada belakang badan. Duburnya ada kesan tusuk dengan objek tumpul.

Mangsa ditempatkan di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang.

Serangan ke atas Nhaveen menarik perhatian seluruh negara, mendorong sebuab badan bukan kerajaan mengadakan vigil lilin di Ipoh, Lembah Klang dan Johor Bahru hari ini.

Semalam, kira-kira 200 orang berhimpun di luar hospital mendoakan semoga Nhaveen pulih dan kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Lebih dari separuh peserta tunjuk perasaan itu tidak mengenali Nhaveen tetapi hadir untuk menyatakan sokongan moral.