Zahid: Isu cukai pelancongan antara Nazri, Sabah dan Sarawak ditutup

zahid-nazri-sabahsarawakPUTRAJAYA: Pergeseran antara Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz dengan kerajaan Sarawak dan Sabah berhubung pelaksanaan cukai pelancongan selesai, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, perkara itu dibincang dan dipersetujui secara bersama oleh pihak berkenaan semasa mesyuarat jemaah menteri, semalam.

Katanya, dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memutuskan perkara itu diselesaikan dan semua pihak tidak lagi mengeluarkan kenyataan berkenaan isu tersebut.

“Isu ini telah selesai, semua pihak sama ada kerajaan atau pemimpin kerajaan negeri tidak lagi mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya selepas merasmikan bengkel pembaharuan pendidikan Islam Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (Lepai) hari ini.

Zahid berkata, beliau secara peribadi menemui Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman berhubung isu tersebut.

Katanya, mereka bersetuju masalah promosi pelancongan memerlukan dana kerana terdapat negeri kutipan cukainya adalah sedikit, manakala ada negeri memungut hasil cukai yang banyak.

Beliau berkata, hasil cukai akan diguna pakai untuk promosi pelancongan bukan hanya mengikut negeri, tetapi mengikut bidang atau kepentingan sesuatu produk pelancongan.

“Kita juga memutuskan menutup buku isu ini (pergeseran) dan membuka buku baharu,” katanya.

Kerajaan sebelum ini memutuskan pelaksanaan cukai pelancongan yang akan menyaksikan kadar RM2.50 dan RM20 untuk penginapan semalam akan dikuatkuasakan bermula 1 Julai depan.

Menteri Sarawak perlu jaga mulut, kata Nazri

Nazri akui cukai pelancongan kerana kerajaan kurang dana

Kabinet anggap isu cukai pelancongan ‘selesai’