5 remaja serang Nhaveen akan didakwa membunuh

Roslee-Chik-nhaveenGEORGE TOWN: Lima remaja lelaki yang ditahan sebelum ini disyaki terlibat dalam kes buli T Nhaveen akan didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh remaja tersebut dalam tempoh terdekat, kata Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Roslee Chik.

Beliau berkata kes itu sebelum ini diklasifikasikan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh ditukar kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

“Kertas siasatan kes telah siap dan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya hari ini. Seramai 15 saksi termasuk doktor yang merawat Nhaveen direkodkan keterangan.

“Lima remaja yang ditahan itu akan didakwa mungkin hari ini atau Isnin depan kerana kertas siasatan sudah lengkap. Saya yakin dan pasti kes ini selesai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pulau Pinang, antara Ketua Perhubungan Antarabangsa Urusetia Ketua Polis Negara Datuk Mohamad Anil Shah dan Datuk Abdul Rahman Ibrahim yang bersara wajib.

Dalam kejadian 2.10 pagi Sabtu lepas, 5 remaja berusia antara 16 dan 18 tahun dilapor memukul Nhaveen dan rakan baiknya T Previin menggunakan topi keledar.

Previin yang turut cedera dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) bagaimanapun berjaya melarikan diri ketika mereka diheret ke padang berdekatan.

Nhaveen yang mengalami kecederaan parah turut mengalami kesan koyak pada duburnya akibat ditusuk objek tumpul serta kesan terbakar di bahunya.

Remaja itu yang koma sejak kejadian tersebut meninggal dunia di HPP petang semalam dan hasil bedah siasat mendapati Nhaveen yang bercita-cita menjadi ahli muzik itu mati akibat kecederaan di bahagian kepala kerana dipukul dengan benda tumpul.

Siasatan polis mendapati 5 remaja yang disyaki terbabit dalam kejadian itu tinggal di kawasan yang sama dan suka membuli serta memeras ugut rakan-rakan mereka.

Mereka juga dilapor terlibat dalam kes pekerja kedai serbaneka 24 jam berusia 19 tahun yang cedera dipukul di Jelutong pada 5 Mei lepas.

Roslee berkata kelima-lima suspek termasuk 2 pelajar tingkatan 4 dan 5 kini ditahan reman bagi membantu siasatan kes pekerja kedai serbaneka itu.

“Pekerja kedai serbaneka itu juga mengenali 5 suspek terbabit…dia yang sebelum ini menarik balik laporan polis yang dibuat tampil semula dan mahu siasatan kes berkenaan diteruskan selepas kes Nhaveen dilaporkan di media massa kerana bimbang menerima nasib yang sama.

“Lima suspek itu satu kumpulan tetapi tidak terlibat dalam kongsi gelap, cuma macam samseng kampung. Mereka suka kacau serta buli rakan-rakan yang baik dan berperwatakan lembut.

“Setakat ini kami hanya terima 2 laporan polis berhubung kegiatan kumpulan itu dan saya minta sesiapa yang pernah jadi mangsa mereka tampil membuat laporan,” katanya.

Sementara itu, Roslee berkata polis memberi jaminan akan melindungi keselamatan Previin yang mendakwa dia dan keluarganya diugut oleh suspek terlibat serta mana-mana saksi lain juga akan diberikan perlindungan keselamatan.