Dwi-kerakyatan: Wisma Putra disuruh bertindak terhadap Jho Low

limlipeng-jholowPETALING JAYA: Seorang pemimpin DAP berkata dokumen Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) mengenai 1MDB semalam mendedahkan taikun kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau Jho Low, memegang pasport negara St Kitts and Nevis, sekaligus melanggar Perlembagaan Malaysia yang melarang dwi-kewarganegaraan.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng berkata Wisma Putra perlu menyatakan segera sama ada dakwaan itu benar, dan sekiranya tidak, perlu membetulkannya dengan segera.

“Sikap berdiam diri Wisma Putra itu hanya mengiyakan kebenaran tindakan terbaharu DoJ itu. Ini seterusnya akan membawa kepada persoalan lebih besar dalam isu berkait dwi-kewarganegaraan,” katanya.

Dokumen DoJ setebal lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California semalam menyebut mengenai tandatangan Jho Low dalam surat syarikatnya, Good Star.

Tandantangan itu disifatkan menyerupai tandatangan Jho Low “dalam pasport Malaysia dan St. Kitts and Nevis”.

Dalam permohonannya, DoJ mengumumkan mahu merampas sebuah lukisan mewah, hasil keuntungan 2 filem Hollywood, kapal layar dan pelbagai hartanah dan barangan untuk mendapatkan balik sejumlah AS$540 juta (RM2.3 bilion) wang yang dikaitkan dengan dana yang dicuri daripada 1MDB.

Selain Jho Low, dokumen itu turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, di samping beberapa nama lain.

Lim berkata sekiranya benar Jho Low melanggar undang-undang Malaysia yang melarang dwi-kewarganegaraan, Wisma Putra perlu membuat laporan polis terhadapnya.

Perkara 24 Perlembagaan Malaysia melarang mana-mana warganegara Malaysia memegang taraf kerakyatan negara lain, dan memberikan kuasa kepada kerajaan melucutkan taraf kerakyatannya.

Bulan lalu, Adun DAP Dr Ting Tiong Choon dari Pujut, Sarawak dipecat sebagai wakil rakyat selepas didapati memegang kewarganegaraan Australia.

Ting dilucutkan melalui pengundian Dewan Undangan Negeri Sarawak, kerana melanggar Perkara 17(1)(g) Perlembagaan Negeri.