Kami tersenyum walau seketika, keluarga Nhaveen hargai doa ikon muzik India

AR-Rahman-nhaveenGEORGE TOWN: Ditimpa musibah dan kesedihan, kiriman Twitter sedikit sebanyak membantu keluarga T Nhaveen melupakan, walau sejenak, apa yang mereka terpaksa lalui.

Itu yang terjadi selepas AR Rahman, ikon muzik antarabangsa dari India yang dinobatkan pelbagai anugerah termasuk Oscar, memuat naik ucapan selamatnya kepada Nhaveen, yang sebelum ini dilaporkan mahu mengikut jejak Rahman yang menjadi idolanya.

“Nhaveen, doa dan kasih sayang semoga cepat sembuh. Semoga segala kekejaman lenyap dan manusia kembali sedar… salam!” tulis Rahman di Twitter beliau yang mempunyai lebih 14.5 juta pengikut, sambil mengepilkan laporan FMT pada Selasa mengenai impian Nhaveen untuk menjadi seorang komposer terkenal seperti Rahman.

Tiga minit kemudian, Nhaveen, yang diisytiharkan “mati otak” selepas dibelasah sekumpulan pemuda dipercayai rakan lama sekolahnya Jumaat lalu, meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

“Untuk seketika selepas melalui duka seminggu ini, kami mampu tersenyum. Terima kasih, Rahman. Ia amat bermakna,” kata nenek Nhaveen, J Chandra Iswari, kepada FMT.

“Cucu saya memang impikan menjadi ahli muzik seperti anda, tetapi sayangnya, dia sudah tiada lagi.”

Sebelum Nhaveen, 18, menghembuskan nafas terakhir, beliau dikelilingi ahli keluarganya, sehinggalah ke saat akhir apabila doktor gagal memulihkan degupan jantungnya yang semakin lemah.

Ibunya, pekerja kilang D Shanti, 43, tidak dapat menahan kesedihan, meraung-raung seperti diserang histeria selepas mendapat tahu anaknya meninggal dunia.

Sementara T Previin, yang menjadi saksi keganasan ketika mereka berdua dibelasah 5 pemuda, baru sahaja selesai menjalani pembedahan tulang pipinya yang retak, dan tidak tahu sahabatnya sudah tiada.

Chandra Iswari tersentuh dengan doa selebriti terkenal India itu untuk cucunya.

“Terima kasih dari lubuk hatiku, kau menyentuh perasaan semua orang dan juga Nhaveen tersayang, hormat untuk mu,” kata guru berusia 55 tahun itu ketika ditemui di Hospital Pulau Pinang malam tadi.

Bagi bapa saudara Nhaveen, ia merupakan suntikan terhadap perjuangan untuk menghapuskan gejala buli, samseng dan pelbagai pengaruh jahat.

Rahman, kata A Suryakumar, 44, mengangkat Nhaveen sebagai seorang ikon.

“Pemergiannya perlu meninggalkan tanda dalam masyarakat. Dia mesti diingati atas perubahan yang dicetuskan kepada kita. Pengorbanannya janganlah disia-siakan.

“Dan kepada Rahman yang mendoakan untuk Nhaveen dari jauh, kami menghargai setulus ikhlas.

“Tetapi dia kini di tempat yang lebih baik kerana Tuhan lebih menyayanginya.”

Penghormatan terakhir untuk Nhaveen diadakan hari ini di Dewan D, Tanah Perkuburan United Hokkien, Jalan Batu Gantong di sini, bermula 2.00 petang.