Kes Jong Nam: Peguam hanya terima dokumen kes selepas 2 bulan

(Dari kanan ke kiri) Hisyam Teh Poh Teik, Salim Bashir dan Naran Singh yang mewakili tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong bercakap kepada pemberita selepas menghadiri kes pembunuhan Jong Nam di Penjara Kajang hari ini.
(Dari kanan ke kiri) Hisyam Teh Poh Teik, Salim Bashir dan Naran Singh yang mewakili tertuduh warga Vietnam Doan Thi Huong bercakap kepada pemberita selepas menghadiri kes pembunuhan Jong Nam di Penjara Kajang hari ini.

KAJANG: Peguam bagi 2 wanita asing yang dituduh membunuh Kim Jong Nam, menerima dokumen berkaitan perbicaraan kes bunuh itu daripada Jabatan Peguam Negara, selepas penantian selama 2 bulan.

Naran Singh, Hisyam Teh Poh Teik dan Salim Bashir yang mewakili warga Vietnam, Doan Thi Huong, bercakap kepada wartawan selepas kes itu disebut di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Nasrudin Mohamed di Penjara Wanita Kajang.

Naran berkata, mereka berpuas hati dengan 44 dokumen yang diberikan timbalan pendakwa raya, Iskandar Ahmad kepada mereka.

Timbalan pendakwa raya, Iskandar Ahmad menemui wartawan di luar Penjara Wanita Kajang.
Timbalan pendakwa raya, Iskandar Ahmad menemui wartawan di luar Penjara Wanita Kajang.

Bagaimanapun, katanya, mereka tidak diberikan rakaman CCTV berkaitan kes itu dan berharap Jabatan Peguam Negara akan menyediakan dokumen yang belum diberikan esok.

Teh berkata, kes itu akan disebut semula pada 28 Julai ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam di depan hakim Azmi Ariffin.

Pada awalnya, kes itu ditetapkan untuk sebutan di Mahkamah Tinggi, namun ia dipindahkan ke penjara Wanita Kajang atas faktor keselamatan.

Ketika tiba di luar penjara, Iskandar mengesahkan dokumen itu sudah disediakan.

Gooi Soon Seng (tengah) mewakili tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, bercakap kepada pemberita selepas sebutan semula kes bunuh Jong Nam hari ini.
Gooi Soon Seng (tengah) mewakili tertuduh warga Indonesia Siti Aisyah, bercakap kepada pemberita selepas sebutan semula kes bunuh Jong Nam hari ini.

Bagaimanapun, Gooi Soon Seng yang mewakili tertuduh Siti Aisyah tidak puas hati kerana bukan semua dokumen sudah diterimanya.

“Kenapa mereka perlu masa begitu lama untuk memuat turun video ke dalam CD? Anda boleh lakukan kerja itu dalam sehari,” katanya.

Pada 30 Mei lalu, kumpulan peguam itu mengulangi kebimbangan mereka yang polis dan pejabat pendakwa raya tidak memberikan dokumen berkaitan, termasuk rakaman CCTV kepada pihak pembelaan.

Gooi berkata, mereka sudah melantik pakar dari Denmark untuk mengkaji bukti itu, khususnya mengenai agen saraf VX yang diklasifikasikan sebagai senjata pemusnah besar-besaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Ia susulan pengesahan oleh Kementerian Kesihatan mengenai laporan bedah siasat ke atas mayat Jong Nam sama dengan keputusan Jabatan Kimia Malaysia berhubung penggunaan racun fosfat organik atau agen saraf VX yang ditemui pada mayat warga Korea Utara itu.

Ditanya sama ada Siti Aisyah meminta ibu bapanya menghadiri perbicaraannya, Gooi berkata, tertuduh tidak mahu mereka datang.

“Dia dijaga baik oleh kedutaan dan penjara buat masa ini,” katanya.

Dalam pada itu, Teh berkata, anak guamnya juga dalam keadaan baik dan sudah memaklumkan timbalan pendaftar dia tidak mempunyai sebarang aduan mengenai keadaan dalam penjara.

Pada 1 Mac lalu, Siti Aisyah dan Doan didakwa membunuh Jong Nam, abang sebapa kepada diktator Korea Utara, Kim Jong Un di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pada 13 Februari lalu.

Jong Nam yang merupakan anak sulung kepada bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong Il, tiba di Malaysia pada 6 Februari dan dijadualkan berlepas ke Macau dengan penerbangan 9 pagi pada hari kejadian.

Semasa di klia2, beliau didekati seorang wanita yang menyembur sejenis cecair, manakala seorang lagi wanita menekup kain ke mukanya.

Jong Nam meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Susulan ini, ia mencetuskan ketegangan dalam hubungan diplomatik antara Putrajaya dan Pyongyang.

Beberapa lelaki warga Korea Utara yang menemui 2 wanita itu melarikan diri dari Malaysia pada hari sama Jong Nam dibunuh.

 

Kes bunuh Jong Nam dipindah ke Mahkamah Tinggi

Senjata pemusnah diharamkan PBB dikesan atas mayat Jong Nam