Masjid dinamakan semula ‘Mariam Umm Eisa’ raikan persamaan Islam-Kristian

uaePETALING JAYA: Sebuah Masjid di Emiriah Arab Bersatu (UAE) diubah namanya kepada “Mariam Umm Eisa”, nama Arab bagi “Marythe mother of Jesus”, Rabu lalu, sebagai usaha menjalinkan hubungan rapat dengan masyarakat Kristian yang turut hadir di sebuah gereja berdekatan.

Gulf News melaporkan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Panglima Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, Shaikh Mohammad Bin Zayed Al Nahyan mengarahkan penamaan semula Masjid Shaikh Mohammad Bin Zayed di Al Mushrif, Abu Dhabi, sebagai usaha menyatukan ikatan kemanusiaan antara pengikut agama berbeza.

Menteri UAE Shaikha Lubna Al Qasimi yang bertanggungjawab mengenai perpaduan mengucapkan terima kasih kepada Shaikh Mohammad atas “kebijaksanaan beliau melaksanakan inisiatif ini yang merupakan satu contoh terbaik yang menggambarkan toleransi dan ikatan bersama yang dinikmati UAE”.

Andrew Thompson, seorang paderi kanan di Gereja St Andrew yang terletak berhampiran masjid itu, menyatakan rasa gembira dapat meraikan persamaan yang wujud antara kedua-dua agama kami.

“Mariam Umm Eisa, seorang tokoh suci dalam masyarakat kita. Beliau adalah seorang wanita yang melambangkan keimanan kepada Tuhan.

“Kami berharap dapat mengembangkan persefahaman yang lebih mendalam di kalangan jiran kami, dan kami meraikan nama baru masjid itu,” kata Thompson.

Paderi Jeramie Rinne dari Gereja Evangelical Community di Abu Dhabi berkata UAE akan terus mengukir langkah di rantau itu demi kehidupan aman dan kerjasama erat.

“Kami sangat cenderung dan berasa diberkati menjadi sebahagian daripada negara ini,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah gereja di Al Ain di Abu Dhabi membuka pintunya kepada lebih 200 pekerja asing mengerjakan solat Maghrib di bangunannya, dengan meletakkan permaidani di lantai kayu gereja.