Palsu S&P, 2 individu termasuk ‘Datuk’ ditahan SPRM

macc-arrest1PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 2 individu termasuk seorang berpangkat “Datuk” dipercayai memalsukan perjanjian jual beli (S&P) bagi unit projek kondominium di Pulau Pinang, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, SPRM berkata individu yang ditahan adalah pengarah urusan syarikat pemaju perumahan dan ketua bahagian jualan dan pemasaran syarikat terbabit.

“Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan jam 6 petang di pejabat SPRM Pulau Pinang manakala wanita berusia 39 tahun pada pukul 6.50 petang.

“Kedua-dua suspek dipercayai memalsukan perjanjian S&P menggunakan lebih 20 penama sebagai pembeli kuota bumiputera bagi unit kondominium di Batu Feringghi.”

Menurut kenyataan itu lagi, kedua-dua suspek dipercayai membayar sejumlah wang kepada seorang individu yang bertindak sebagai ejen bagi mendapatkan salinan kad pengenalan daripada mana-mana individu yang kononnya sebagai pembeli bumiputera bagi projek perumahan tersebut.

Menurut sumber, ejen tersebut dibayar lebih kurang RM3,000 untuk setiap kad pengenalan yang diperolehi.

SPRM berkata pemalsuan ini untuk mengurangkan jumlah sumbangan pelepasan kuota bumiputera yang perlu dibayar oleh pemaju kepada kerajaan negeri.

“Sehingga kini seramai 20 saksi dirakamkan kenyataan bagi membantu siasatan.

“Kedua-dua suspek direman 4 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.”

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata pihaknya sedang mengenalpasti jika terdapat suspek lain yang turut terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau juga berkata pasukan penyiasat sedang menyiasat sama ada berlaku penyelewengan atau penipuan dalam proses penjualan rumah yang kononnya dijual kepada pembeli bumiputera.

“Kita (SPRM) akan bekerjasama dengan kerajaan Pulau Pinang kerana berkemungkinan kerajaan negeri turut ditipu dalam hal ini,” ujar beliau.