Peguam tidak sependapat mengenai pembabitan polis dalam siasatan AS

ramkarpal

PETALING JAYA: Peguam tidak sependapat apabila ditanya sama ada polis perlu terlibat dalam usaha Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat untuk mendapatkan kembali AS$540 juta aset yang didakwa dicuri dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Seorang peguam berkata ia adalah perkara sivil dan polis tidak perlu terlibat manakala 2 lagi mengatakan polis perlu melihat kemungkinan unsur jenayah dalam kes itu.

Mereka mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengatakan polis tidak akan campurtangan dalam langkah DoJ untuk mendapatkan kembali AS$540 juta yang dibelanjakan untuk karya seni, barang kemas dan hak filem.

“Kalau tindakan sivil, polis tidak akan campur tangan,” kata Khalid.

Khalid juga ditanya sama ada polis akan menawarkan bantuan kepada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) untuk melihat kes itu, dan beliau menjawab: “Tidak dalam perkara sivil.”

Peguam K Simon Murali, yang bersetuju dengan Khalid, berkata: “Tindakan DoJ tindakan sivil oleh kerajaan AS untuk mendapatkan kembali wang yang dikatakan disalahguna. Bukan siasatan jenayah.”

Simon berkata kerajaan AS akan menggunakan perjanjian bantuan perundangan bersama (MLA) jika bantuan polis diperlukan dalam siasatan mereka.

“Kita menandatangani MLA dengan beberapa negara Barat dan Timur. Jika pihak berkuasa perlukan bantuan dalam siasatan kes jenayah, mereka akan gunakan MLA dan mohon bantuan polis,” katanya.

Menurut Jabatan Peguam Negara, Malaysia menandatangani MLA dalam perkara jenayah dengan negara Asean, Australia, Hong Kong, AS, United Kingdom dan Korea Selatan.

Peguam Ramkarpal Singh tidak bersetuju dengan Khalid, dan mengatakan walaupun tindakan DoJ itu bersifat sivil, tidak bermakna polis tidak boleh menyiasat sebarang salahlaku dalam isu berkaitan 1MDB.

“Polis boleh campurtangan jika tindakan sivil mendedahkan salahlaku,” katanya.

Peguam S N Nair berkata Khalid “tersalah tanggap” isu itu apabila menegaskan tindakan sivil itu tindakan sivil kerana beliau mungkin tidak menyedari sifat kes itu di AS.

“Ia mungkin tindakan kuasi-jenayah,” katanya, dan menambah: “‘Kuasi-jenayah’ bermakna saman itu mempunyai elemen pendakwaan jenayah.”

1MDB secara konsisten menafikan sebarang salahlaku.