Polis tahan 3 suspek cadang ke Filipina bertempur

khalid-tahanKUALA LUMPUR: Polis menahan 2 warga Indonesia dan seorang rakyat tempatan di Sabah yang bercadang menyertai perjuangan IS di bandar Marawi, kata Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Dua warga Indonesia itu masuk ke negara ini menggunakan dokumen perjalanan sah dan semua suspek bekerja sebagai buruh biasa.

“Kami berjaya kesan dan tangkap mereka sebelum mereka pergi ke bandar Merawi,” kata ketua polis negara selepas menghadiri sebuah majlis di Bukit Aman hari ini.

Semalam, polis dilaporkan menahan beberapa lelaki yang disuaki ada kaitan dengan pengganas dekat Masjid Jamek As-Sheikh Hasabollah At-Tohiri di Sandakan, tengah hari semalam.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, dokumen yang menunjukkan mereka menyokong IS turut dirampas.

“Di Sandakan, polis merampas 3 pisau rambo yang mereka baru beli untuk menyerang polis jika mereka ditahan.

“Mereka akan didakwa di bawah Kanun Keseksaan dan Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012),” katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata, polis turut menahan seorang lelaki Indonesia di Slim River, Perak, pada 12 Jun lalu yang disyaki terbabit dalam kegiatan IS.

“Dia bercadang menyerang polis,” katanya sambil menambah 4 suspek yang ditahan itu berusia 30 hingga 48 tahun.

Beliau berkata, mulai sekarang sehingga temasya Sukan Sea diadakan pada Ogos nanti, polis akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang ancaman pengganas.

Saksi: 100 mayat bergelimpangan di pekan Marawi