Polis tak campur tangan siasatan AS ke atas 1MDB

igp-khalid-DOJKUALA LUMPUR: Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis Malaysia tidak akan campur tangan dalam siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mendapatkan AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Ini kerana, kata ketua polis negara, ia adalah kes sivil.

“Itu ialah tindakan sivil. Polis tidak akan campur tangan,” katanya selepas menghadiri sebuah majlis di Bukit Aman, hari ini.

Ditanya jika polis akan memberi bantuan kepada FBI dalam siasatan kes itu yang digelar skim penipuan, beliau berkata: “Tidak. Bukan dalam perkara sivil.”

Beliau berkata demikian susulan permohonan yang difailkan DoJ semalam untuk merampas lebih banyak aset, termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Permohonan terbaharu itu berkaitan dakwaan kecurian dana 1MDB, syarikat yang diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

DoJ dalam siasatannya mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Antara aset yang menjadi sasaran dalam permohonan difailkan di mahkamah California semalam ialah hak cipta ke atas 2 filem komedi, “Dumb and Dumber To” yang dibintangi Jim Carrey, dan “Daddy’s Home” lakonan Will Ferrell, filem terbitan syarikat anak tiri Najib, Riza Aziz, yang didakwa menggunakan berjuta dolar wang milik 1MDB.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/16/lagi-aset-berkait-wang-curi-1mdb-jadi-sasaran-pihak-berkuasa-as/