Rasa nak tepuk kepala dia, pemandu Grab ejek pelancong China

Grab

PETALING JAYA: Syarikat Grab bertindak menamatkan perkhidmatan seorang pemandunya selepas mengejek 2 pelancong China.

Sin Chew Daily melaporkan ramai mengkritik rakaman video yang dimuat naik pemandu berkenaan ke Facebook dan laman media sosial lain.

Pengurus Komunikasi Grab Malaysia, Regina Robin mengesahkan syarikat berkenaan tidak akan membiarkan perbuatan seperti itu dan sudah menamatkan perkhidmatan pemandu terbabit selama-selamanya.

Dalam rakaman video selama 1 minit 6 saat itu, pemandu itu terlebih dahulu bercakap bersendirian dalam bahasa Malaysia, sebelum bertanya pelancong terbabit berasal dari bahagian mana di China menggunakan bahasa Inggeris.

Beliau kemudiannya mengejek 2 pelancong asing itu.

“Dia daripada ketumbit…Si bengang ni 2 orang berbaju belang macam zebra, aku rasa nak tepuk je kepala dia. Seronok ya dapat customer China.

“Kita ada customer China yang bodoh-bodoh arang ni…aku pening ni, so jaga-jaga ya,” kata pemandu itu.

Ada di kalangan netizen mengecam lelaki terbabit dengan berkata, tindakan keterlaluan pemandu itu sudah merosakkan imej Malaysia.