‘Saman DoJ pesongkan kerajaan daripada agenda lebih besar’

hishamudon-dojKUALA LUMPUR: Tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan permohonan untuk merampas aset dikaitkan dengan penyalahgunaan dana 1MDB boleh memesongkan agenda kerajaan, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Menteri pertahanan itu bagaimanapun berkata, tiada usaha dapat diambil untuk menyekat tindakan DoJ itu kerana pihak berkuasa AS itu pernah berbuat demikian.

“Bagi saya, biarlah mereka lakukan apa yang mereka lakukan, lagipun ia bukan perkara baru. Dahulu pun dia (DoJ) ada buat, kita dapat atasi dan ada jawapan.

“Benda-benda macam inilah memesongkan kita daripada agenda kita yang lebih besar,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini.

Hishammuddin tidak menjelaskan secara terperinci apakah agenda yang beliau maksudkan.

DoJ dalam saman sivil terbaru lebih 200 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah di California pada Khamis, mahu menyita pelbagai aset dan hartanah mewah, dalam usaha mendapatkan kembali AS$540 juta wang yang dikaitkan dengan dana dicuri daripada 1MDB.

Ia termasuk sebuah lukisan mewah dan hasil hak cipta 2 filem komedi Hollywood, “Dumb and Dumber To” dan “Daddy’s Home” yang diterbitkan sebuah syarikat diketuai anak tiri perdana menteri, Riza Aziz.

Bukan itu sahaja, kira-kira AS$1.3 juta (RM5.5 juta) dalam dana 1MDB boleh dikesan kepada penyalahgunaan pinjaman Bank Deutsche untuk membeli 27 barang kemas bagi isteri “Malaysian Official 1” (MO1) pada 2014.

DoJ dalam siasatannya turut mendapati kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM19 bilion) berlaku dalam 1MDB melibatkan pegawai atasan dan sekutu mereka.

Bagaimanapun, 1MDB – syarikat diilhamkan Datuk Seri Najib Razak, hari ini berkata, dokumen terbaharu yang difailkan DoJ tidak disertakan bukti jelas.

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengkritik saman itu dengan berkata, pihaknya tidak dimaklumkan DoJ, sementara setiausaha akhbar Najib, Datuk Seri Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad menyifatkannya AS mempunyai agenda politik kerana menamakan pihak tertentu, walaupun tidak perlu berbuat demikian.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/16/lagi-aset-berkait-wang-curi-1mdb-jadi-sasaran-pihak-berkuasa-as/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/16/dokumen-doj-perincikan-27-barang-kemas-rm5-5-juta-untuk-isteri-mo1/