Twit dikatakan dari Jho Low hentam DoJ

Bradley-HopePETALING JAYA: Taikun kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho dilaporkan memberi respon kepada langkah Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat menyita aset AS$540 juta yang dikatakan dicuri dari 1Malaysia Developed Berhad (1MDB) dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan yang keterlaluan.

Pemberita Wall Street Journal, Bradley Hope, berkongsi twit dikatakan dari Jho Low yang menghentam DoJ, mengatakan jabatan itu tidak membuktikan sebarang perkara tidak wajar berlaku.

“Langkah terbaru Jabatan Kehakiman AS meneruskan usaha tidak wajar untuk menyia aset walaupun tidak membuktikan sebarang perkara tidak wajar berlaku.

“Aktiviti minggu ini dari DoJ contoh usaha melampaui batas kemampuan untuk kes yang cacat.

“Kami mengalu-alukan fakta sebenar dikemukakan di mahkamah yang akan menunjukkan kes DOJ tidak berasas,” kata twit itu.

Hope berkata twit itu kenyataan pertama Jho Low dalam 2 tahun kebelakangan ini.

“Kenyataan pertama Jho Low dalam lebih 2 tahun kebelakangan ini, susulan saman terbaharu DoJ terhadap asetnya termasuk kapal layar AS$250 juta #1MDB #Malaysia,” katanya di Twitter.

Low pernah menafikan sebarang salah laku.

Langkah terbaru DoJ menyusuli kes mahkamah yang dilancarkan tahun lepas di mana Washington mahu merampas lebih AS$1 bilion yang didakwa digelapkan ahli perniagaan yang mempunyai kenalan politik di Malaysia, menjadikan jumlah keseluruhan yang dikatakan pegawai AS dicuri mencecah AS$4.5 bilion.

Barangan perlu disita yang disebutkan dalam saman itu termasuk sebuah kondominium Park Avenue, barang kemas berlian, saham pengusaha kelab kesihatan Fly Wheel Sports Inc, lukisan Pablo Picasso “Nature Morte au Crane de Taureau” dan hak kepada filem 2014 “Dumb and Dumber To”.

Kerajaan juga mahu menyita kapal layar mewah, Equanimity.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali menjawab saman itu berkata DoJ belum menyediakan sebarang bukti dana dari 1MDB digelapkan.

Sementara itu pejabat perdana menteri mencadangkan dakwaan itu berhasrat untuk memburukkan individu tertentu dan berbangkit daripada input seteru politik.

Dalam kenyataan hari ini, setiausaha akhbar perdana menteri Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad berkata: “Kami juga bimbang dengan penamaan beberapa perkara dan individu yang tidak perlu dan tanpa sebab yang hanya berkaitan dengan manipulasi politik dalam negara dan campurtangan. Ia menunjukkan motivasi yang melampaui objektif menyita aset.”