Undang-undang anti-evangelikalisme provokatif

ncef-malaysia2

PETALING JAYA: Perkumpulan Kristian Evangelikal Kebangsaan Malaysia (NEFC) terkejut dengan seruan mengharamkan evangelikalisme Kristian, menyamakan ia kepada langkah Rusia meningkatkan kawalan ke atas aktiviti itu disana.

Pengerusi Eu Hong Seng hari ini berkata cadangan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Advokasi dan Penyelidikan Hak Asasi Manusia (Centra) Azril Mohd Amin dalam satu artikel, di mana beliau berpandangan evangelikalisme gerakan berbahaya, diajukan tanpa sokongan bukti.

Beliau berkata idea mewujudkan undang-undang anti-evangelikalisme tidak wajar dan provokatif.

Beliau berkata idea itu menyamai Akta Yarovaya yang dilaksanakan di Rusia tahun lepas terhadap evangelikalisme, dengan niat untuk mengekang ekstremisme agama dan terorisme. Undang-undang itu termasuk larangan ke atas pertunjukan “aktiviti mubaligh” dalam ruangan bukan agama.

Eu berkata laporan media tempatan dan antarabangsa bagaimanapun tidak menamakan Kristian evangelikal Malaysia terlibat dalam ekstremisme dan terorisme.

“Esei itu mempunyai kecenderungan untuk mempromosikan perasaan niat jahat dan permusuhan terhadap Kristian evangelikal,” katanya, menggambarkan ia sebagai tidak bertanggungjawab dan menghasut.

“Ia sangat membingungkan pandangan radikal dan melampau disiarkan Utusan Malaysia, sebuah akhbar kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.

Azril dalam kolum yang disiarkan Utusan Malaysia semalam berkata kerajaan membuat keputusan tepat apabila mengarahkan polis mengharamkan himpunan “Jerusalem Jubilee” anjuran kumpulan evangelikal All Malaysian-Golden Gate Revival Convocation di Melaka mulai 15-18 Jun.

Beliau mendakwa gerakan itu memunculkan sikap beragama baharu 20 tahun dahulu yang cenderung terhadap kebebasan “tanpa batas” dan keterbukaan “tanpa kawalan”.

Beliau mendakwa ramai sarjana Kristian akui kecenderungan gerakan itu membawa kesan buruk kepada pertumbuhan gereja.

Azril berkata kerajaan perlu menimbangkan untuk memperkenalkan undang-undang anti-evangelikalisme demi menghalang gerakan itu mendominasi dakyah Kristian.

“Pada hakikatnya, kelompok yang masih cuba untuk menyebarluaskan dakyah agama Kristian kepada rakyat Malaysia, khususnya kepada umat Islam akan terus berusaha kerana percaya tiada undang-undang berkesan yang boleh menghalang mereka,” katanya.

Eu menyeru polis dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya bertindak, menyifatkan cadangan Azril itu mencabul hak asasi manusia dan perlindungan yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

“Kami menyeru polis supaya mengambil tindakan terhadap penulis dan akhbar berkenaan di bawah Akta Hasutan dan Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan dan menerbitkan kata-kata yang cenderung kepada mengalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara orang berbeza agama,” katanya.

“Kami menyeru perdana menteri supaya memastikan hak semua warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan tanpa mengira kepercayaan agama mereka dilindungi, dipertahankan dan dikuatkuasakan.”

Beliau menambah Najib dan anggota kerajaan lain perlu menjaga sumpah jawatan masing-masing dan menegakkan hak asasi semua warganegara, termasuk Kristian minoriti, dengan mengecam kenyataan seperti itu yang menurut beliau berbahaya kepada keamanan, keharmonian dan muhibah.