‘Walau terbabit nahas, TUDM masih puas hati pesawat Hawk’

Hishammuddin-hawk108KUALA LUMPUR: Pesawat pejuang jenis Hawk 108 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) masih sesuai digunakan walaupun berusia lebih 20 tahun, kata menteri pertahanan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, tidak wajar menjadi nahas di Terengganu semalam sebagai kayu ukur untuk merendah-rendahkan prestasi Hawk 108.

“Saya dapat maklum balas dari TUDM, mereka masih berpuas hati dengan pesawat ini. Negara lain juga menggunakannya.

“Kita jangan benarkan insiden sebegini menjejaskan prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat berkenaan,” katanya pada sidang media di Wisma Pertahanan, hari ini.

Hawk 108 merupakan pesawat buatan Britain dan mula digunakan TUDM sekitar 1996. Kemalangan semalam adalah yang ke-5 melibatkan pesawat jenis itu.

Ia adalah pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan yang boleh dijadikan pesawat bantuan rapat udara.

Hishammuddin berkata, pihaknya turut bercadang menaik taraf dan menambah bilangan skuadron jenis Hawk serta beberapa aset lain.

Beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia membeli pesawat itu dari Arab Saudi.

“Insya Allah, saya sedang berunding dengan beberapa pihak tertentu. Kejadian semalam tidak jejaskan aset kita. Kita masih ada aset lain seperti aset untuk latihan dan helikopter. Bahkan kita juga fikirkan transformasi aset di laut dan udara,” katanya.

Semalam, 2 juruterbang TUDM bersama sebuah pesawat Hawk 108 yang hilang, didapati meninggal dunia selepas usaha menyelamatkan diri menggunakan payung terjun kecemasan gagal.

Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Affendi Buang berkata, mayat kedua-dua juruterbang itu dijumpai di kawasan hutan paya di Chukai, Terengganu.

Bagaimanapun, sehingga hari ini, bangkai pesawat berkenaan belum ditemui.

Nahas terakhir membabitkan pesawat TUDM berlaku tahun lalu apabila sebuah pesawat jenis Beechcraft King Air 200T terhempas di Pangkalan Udara TUDM di Pulau Pinang, mengorbankan seorang juruterbang.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/highlight/2017/06/15/2-juruterbang-tudm-terbunuh-pesawat-hawk-masih-dicari/