KUALA LUMPUR: Polis akan menyiasat MonSpace (M) Sdn Bhd selepas laporan polis dibuat ke atas syarikat skim pelaburan itu, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.
“Polis dan Bank Negara dalam proses mengumpul bukti untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Bukit Aman pagi ini.
Beliau diminta mengulas mengenai 71 warga China yang membuat laporan polis terhadap MonSpace di Balai Polis Bukit Jalil semalam selepas mendakwa wang simpanan mereka ditipu.
Khalid juga mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak melabur dalam mana-mana skim yang menjanjikan pulangan lebih 16% setahun.
“Orang ramai perlu berhati-hati dengan skim tersebut. Tidak mungkin sesebuah skim itu mampu membuat begitu banyak keuntungan,” katanya.
Semalam, 71 warga China mendakwa mereka adalah “mangsa” MonSpace dan pengasasnya, Jessy Lai dan menuntut bayaran balik wang yang mereka laburkan.
Dalam laporan polis, mereka mendakwa tidak menerima 500% pulangan yang dijanjikan Lai dalam tempoh 6 bulan.
Mereka melabur dalam MonSpace sejak November tahun lepas.
Sebelum itu, mereka pergi ke pejabat MonSpace di Bukit Jalil untuk bertemu Lai dan mendapatkan balik duit mereka.
Mereka berkata telah melabur sebanyak $10,000-100,000 renminbi (RM6,260-RM62,600) dalam MonSpace.
Mereka memberitahu pemberita, mereka datang jauh dari China semata-mata untuk berjumpa Lai tetapi percubaan mereka sia-sia.