DAP, Ting menang saman, kerusi Pujut kekal

Ting-Tiong-Choon-sarawak

PETALING JAYA: Kedudukan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut dipulihkan selepas Mahkamah Tinggi Kuching hari ini menyebelahi pihaknya dalam saman mencabar pelucutannya bulan lepas terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada 12 Mei lalu, kelayakan Ting dilucutkan di bawah Perkara 17(1)(g) perlembagaan negeri kerana secara rela memperoleh kerakyatan negara lain.

Usul itu dibentangkan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan sokongan undi 70 wakil rakyat Barisan Nasional. Semua 10 wakil rakyat pembangkang tidak menyokong.

Wong berkata Ting menerima kerakyatan Australia pada 20 Januari 2010 dan hanya melepaskannya pada 4 April 2016, sebulan sebelum pilihan raya Sarawak pada 8 Mei.

Keputusan mahkamah itu diumumkan Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling, yang memuatnaik beberapa perkara penting daripada keputusan itu di media sosial.

“Dari segi undang-undang kes, Mahkamah Persekutuan secara konsisten berpendirian Dewan perlu bertindak dalam batas kuasanya. Perlembagaan jelas menyatakan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya mesti membawa kes mereka melalui petisyen pilihan raya.

“Di bawah Perkara 1.18, mahkamah pilihan raya mempunyai bidang kuasa eksklusif jika ada keputusan pilihan raya dicabar. Dewan tiada kuasa untuk menangani keputusan pilihan raya. Dewan bukan badan yang kompeten untuk membuat keputusan mengenai isu perlembagaan,” tulis Alan.