KP SPRM: ‘Jika perlu baru kita panggil IGP’

Dzulkifli-Ahmad-khalid-sarawak-reportPETALING JAYA: Keputusan sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berubung dakwaan Sarawak Report hanya akan dibuat berdasarkan siasatan lanjut badan itu, kata Ketua Pesuruhjayaya, Datuk Dzulkifli Ahmad.

“Biarlah kita jalankan siasatan dahulu, sekiranya perlu barulah kita panggil.

“SPRM tidak boleh mengambil keterangan berdasarkan dakwaan artikel dalam internet sebaliknya setiap tindakan kita perlu dilakukan berdasarkan siasatan sendiri,” kata beliau dipetik Bernama.

Beliau diminta mengulas dakwaan blog Sarawak Report yang mengaitkan beberapa pegawai tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan suspek utama kes rasuah di Melaka.

Sehingga 25 Mei lepas, seramai 13 individu termasuk 9 pegawai dan anggota polis di Melaka ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Dalam pada itu kata beliau, SPRM masih mengesan beberapa saksi penting kes rasuah berkaitan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan pusat urut di beberapa lokasi di Melaka.

Dzulkifli berkata ini berikutan saksi terbabit gagal dikesan dan dipercayai telah meninggalkan negara ini.

“Ada di antara mereka yang sudah melarikan diri ke luar negara manakala selebihnya bersembunyi di dalam negara.

“Kami dalam proses mengesan mereka semua bagi melengkapkan siasatan, ” katanya.