Najib: Ikatan Felda-Putrajaya tidak dapat dipisah

najib-felda-putrajayaPEKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberi jaminan kerajaan akan terus membela kebajikan dan pembangunan masyarakat Felda di negara ini.

Najib berkata, antara langkah yang diambil termasuk mengkaji bagaimana pembangunan Felda dan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV) boleh diperkukuhkan dari segi pengurusan supaya kejayaan FGV dapat membantu kesejahteraan dan kejayaan Felda terutama kepada peneroka.

“Inilah hasrat kerajaan… dan 1 program yang cukup bermakna akan dilaksanakan nanti ialah Hari Peneroka di mana penganjurannya akan diadakan di Putrajaya yang dijangka menghimpukan lebih 20,000 peneroka dari seluruh negara.

“Ini untuk memberi isyarat jelas bahawa ikatan Felda dan Putrajaya tidak dapat dipisahkan. Peneroka sentiasa di hati Putrajaya dan Putrajaya sentiasa di hati peneroka,” kata perdana menteri ketika berucap pada majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Felda Chini dan pelancaran projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan peringkat negeri Pahang di Masjid Felda Chini 1 di sini, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan berkata pembangunan di Felda serta nasib peneroka telah mengalami banyak perubahan jika dibandingkan dengan peringkat semasa awal penubuhannya pada 1960-an.

“Pada peringkat asal tahun 60-an kerika zaman Allahyarham ayahanda saya Tun Abdul Razak Hussein selaku pengasasnya, tujuan penubuhan Felda adalah untuk basmi kemiskinan dan bantu kesejahteraan masyarakat luar bandar khususnya mereka yang tidak mempunyai tanah dan pendapatan tetap.

“Siapa dapat bayangkan hasilnya membawa perubahan besar kepada kawasan luar bandar di rancangan Felda, contohnya gugusan Felda Chini yang hari ini keadaannya lebih baik daripada asal.

“Mereka yang berpindah ke sini dapat menempah masa depan jauh lebih baik berbanding jika mereka tidak menyertai rancangan Felda sebagai peneroka,” katanya.

Perdana menteri berkata ini jelas terbukti apabila keperluan asas masyarakat Felda sudah jauh berubah dan bukan lagi melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya dan lampu jalan, sebaliknya melibatkan keperluan pada peringkat yang lebih tinggi.