Set golf RM45,000: KP JPJ sedia jumpa SPRM lagi

Nadzri-Siron-sprmKUALA LANGAT: Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Nadzri Siron sedia memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membantu siasatan berhubung dakwaan penerimaan set golf.

Katanya, beliau dan beberapa anggotanya telah 2 kali hadir ke pejabat SPRM Selangor pada Khamis dan semalam, untuk memberi keterangan berhubung siasatan berkenaan.

“Saya telah dan bersedia untuk memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini, begitu juga dengan anggota JPJ yang lain sekiranya mereka perlu memberi keterangan kepada SPRM, ” katanya selepas merasmikan Operasi Penguatkuasaan Perayaan Hari Raya Aidilfitri 2017 di sini hari ini.

Semalam, SPRM dilaporkan mengesahkan telah memanggil Nadzri bagi membantu siasatan berhubung dakwaan menerima set golf bernilai RM45,000 sebagai hadiah.

Turut dilaporkan semalam, Ketua Persuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan untuk memanggil semula Nadzri bagi membantu siasatan kes tersebut.

Dzulkifli juga berkata pihaknya turut akan memanggil beberapa individu lain bagi membantu siasatan.

Sementara itu ditanya sama ada beliau ada menyerahkan apa-apa dokumen kepada SPRM, Nadzri berkata, sehingga kini tiada permintaan daripada SPRM untuk beliau mahupun JPJ untuk berbuat demikian.