Tak lapuk dek hujan, pembuatan songkok merentasi zaman

songkok-1
Nurhafizah menunjukkan gambar ayahnya bersama Datuk Bung Moktar Radin yang membeli songkok di kedai mereka.

KUALA LUMPUR: Sejak diadaptasikan dari fesyen Uthmaniyah pada 1826, reka bentuk, bahan jahitan serta warna songkok tidak banyak berubah meskipun pakaian tradisional orang Melayu melalui pelbagai macam perubahan.

Dipadankan dengan baju Melayu atau sut, berkemeja batik atau berkain pelikat, penutup kepala tradisional itu masih relevan 191 tahun kemudian.

“Apa yang berubahnya adalah dari segi tinggi sahaja,” kata Nurhafizah Ambo, 38, seorang pembuat songkok generasi kedua dalam keluarganya. Beliau ditemui FMT di kedainya yang terletak berhampiran stesen LRT Keramat.

“Kalau pelanggan minta kain songket, dia akan bawa kain untuk dipadankan dengan baju yang dipakai,” tambahnya, merujuk kepada lilitan tepi.

Selain dipakai ke masjid atau majlis, songkok turut mempunyai tempat dalam sejarah nusantara. Ia sering dikaitkan dengan gerakan nasionalis di sini dan di negara jiran, Indonesia. Selalunya songkok dipakaikan tegak ke atas, adakalanya digayakan senget ke tepi seperti Tunku Abdul Rahman.

Setiap kali Aidilfitri menjelma, songkok pasti menjadi pilihan.

Menurut Nurhafizah, pemintaan orang ramai terhadap songkok masih tinggi walaupun dengan pilihan penutup kepala lain seperti kopiah atau tarbus.

“Bersaing itu ada tapi kita punya tempahan tak berkurang,” katanya.

Dalam sehari, beliau dan 3 orang pekerjanya boleh menghasilkan 80 songkok. Kebiasaannya, kira-kira 200 songkok akan terjual setiap bulan, tetapi pada bulan Ramadan beliau boleh menjual sehingga 2,000 songkok dari rak dan tempahan.

“Apabila tiba musim Ramadan, kami akan buat songkok dalam kuantiti yang banyak 3 bulan sebelum Ramadan.”

Ibu kepada 2 orang anak ini mewarisi pembuatan songkok daripada ayahnya. Perniagaannya hari ini dimulakan oleh ayahnya sekitar tahun 90-an.

 Nurhafizah bersama songkok yang dijual di kedainya yang terletak berhampiran dengan Stesyen LRT Keramat
Nurhafizah bersama songkok yang dijual di kedainya yang terletak berhampiran dengan Stesyen LRT Keramat

Sambil menunjukkan pelbagai macam songkok yang dijualnya, Nurhafizah berkata orang ternama turut membeli songkok buatan kedainya seperti Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin, penyanyi Awie dan Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.