Isteri sambut baik Suhakam siasat kehilangan aktivis Amri, 3 lagi

Amri_suhakam_600

PETALING JAYA: Isteri aktivis Amri Che Mat yang dilaporkan hilang sejak tahun lalu menyambut baik langkah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan menyiasat kes suaminya dan 3 individu yang lain.

Norhayati Mohd Ariffin berkata, beliau amat bersyukur kerana Suhakam memutuskan untuk menyiasat dengan lebih mendalam mengenai kes kehilangan suaminya.

“Saya dan keluarga serta rakan-rakan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Suhakam terutamanya (Pengerusinya) Tan Sri Razali Ismail atas dasar keprihatinan dan rasa tanggungjawab dalam menegakkan hak kemanusiaan yang sepatutnya dimiliki oleh suami saya serta 3 yang lain,” kata beliau menerusi kenyataan media hari ini.

Sepanjang kehilangan Amri, kata Norhayati, perasaan kecewa sangat menebal di sudut hati beliau dan “terzahir dengan sendirinya, apabila mendapati badan penguasa yang sepatutnya bertanggungjawab mengambil tindakan dan menyiasat kes ini seakan-akan menganaktirikan kes suami saya dan tiga yang lain.”

“Di sini saya rasa amat bersyukur apabila mengetahui Suhakam dan beberapa pertubuhan lain giat membantu menyelesaikan kes ini.”

Kelmarin, Suhakam berkata pihaknya akan menyiasat kehilangan Pastor Raymond Koh, Amri dan 2 individu lain.

Razali berkata masih banyak yang perlu dilakukan dalam kes Raymond, Amri, Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Hilmy.

“Semua mangsa dan keluarga terlibat mempunyai hak untuk mengetahui apakah sebenarnya berlaku, hak akses yang berkesan bagi mendapatkan keadilan serta hak memperolehi pampasan,” katanya.

“Hak untuk mengetahui kebenaran merupakan asas isu ini yang dimensi secara individu dan menyeluruh. Orang awam berhak untuk mengetahui tentang keadaan orang yang hilang.”

Koh, 62, diculik dari keretanya oleh sekumpulan lebih 10 orang lelaki yang berkonvoi pada 13 Februari lepas.

Rakaman kamera litar tertutup memaparkan sekurang-kurangnya 3 SUV hitam terlibat dalam penculikan itu. Ramai berspekulasi penculikan itu ada kaitan dengan cubaan menyebarkan agama Kristian, walaupun keluarganya menafikan dakwaan itu.

Aktivis sosial Amri, 44, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November lepas. Sementara Joshua dan Ruth kali terakhir dilihat pada 30 November tahun lepas.

Suhakam menyeru individu yang mempunyai maklumat berkaitan dan penting tampil supaya kenyataan mereka boleh dirakam mulai hari ini sehingga 7 Julai.

Norhayati menambah, beliau meletakkan harapan yang sangat tinggi ke atas Suhakam untuk menyelesaikan misteri kehilangan suaminya dan 3 yang lain.

“Kehilangan suami saya sudah lebih 200 hari dan hampir mencecah 7 bulan. Perasaan sedih dan rindu sentiasa menyelebungi saya dan anak-anak.

“Ini adalah pengalaman pertama kami menjalani ibadah puasa tanpa beliau di sisi. Kehilangan beliau amatlah terasa. Saya dan keluarga hilang satu kekuatan dan
tempat bergantung.

“Saya turut bersimpati kepada isteri Raymond Koh, Susanna Liew dan saya sentiasa mendoakan dia dan keluarga sentiasa kuat semangat dalam menempuh ujian ini. Saya yakin dia juga merasakan kesedihan sepertimana yang saya rasa,” kata beliau yang turut memohon agar semua mendoakan keselamatan kesemua 4 mereka yang terbabit.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/16/suhakam-siasat-kehilangan-pastor-raymond-3-lain/