Isu Adun Pujut: DAP gesa Abang Johari minta maaf

Chong-Chieng-Jen_abang-johari_sarawak_600

PETALING JAYA: Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mencadangkan agar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengadakan siang tergempar dalam masa 2 minggu berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching mengekalkan Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut, semalam.

“Rakyat di Sarawak perlu tahu mengenainya dan Ketua Menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Openg) patut memohon maaf,” katanya dipetik Bernama.

Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa DUN Sarawak tidak mempunyai kuasa untuk menangani perkara berkaitan keputusan pilihan raya kerana ia adalah hak eksklusif mahkamah pilihan raya.

Kedudukan Tiong Choon sebagai Adun Pujut dipulihkan selepas Mahkamah Tinggi Kuching menyebelahi pihaknya dalam saman mencabar pelucutannya bulan lepas terhadap Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Pada 12 Mei lalu, kelayakan beliau dilucutkan di bawah Perkara 17(1)(g) perlembagaan negeri kerana secara rela memperoleh kerakyatan negara lain.

Usul itu dibentangkan Menteri Kewangan II Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh dan diluluskan dengan sokongan undi 70 wakil rakyat Barisan Nasional. Semua 10 wakil rakyat pembangkang tidak menyokong.

Dalam pada itu, PAS Sarawak mencadangkan agar kerajaan melaksanakan tapisan wajib bagi mereka yang ingin menjadi calon dalam pilihan raya di negara ini.

Pesuruhjayanya, Jofri Jaraiee berkata kerajaan perlu membuat tapisan terhadap bakal calon sebelum mereka dibenarkan bertanding pada pilihan raya dan beliau menggesa langkah itu dilaksanakan bagi Pilihan Raya Umum Ke-14.

“Kami tidak mahu isu ini berlaku lagi kerana ia akan membazirkan wang rakyat sekiranya pilihan raya kecil perlu diadakan bagi menggantikan seseorang wakil rakyat, tak kiralah dari kerajaan atau pembangkang, yang didapati memiliki dua kerakyatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

DAP, Ting menang saman, kerusi Pujut kekal