Arab Saudi, Israel giat pulih hubungan

Israel_arab

PETALING JAYA: Arab Saudi dan Israel kini giat berunding ke arah menjalinkan hubungan diplomatik dan perdagangan, termasuk membenarkan penerbangan Israel, El Al menggunakan ruang udara Arab Saudi, menurut laporan akhbar Britain, The Times yang memetik sumber yang rapat dengan kedua-dua negara.

Akhbar itu berkata kemungkinan itu menjelaskan langkah Riyadh mengetuai kempen memencilkan Qatar dalam usaha untuk memotong bekalan bantuan kepada beberapa pertubuhan yang menentang regim Tel Aviv, termasuk Hamas, Ikhwanul Muslimin dan kerajaan Iran.

Hubungan Israel dengan Arab Saudi bukan sesuatu yang baharu di kalangan negara Arab. Jordan dan Mesir mempunyai hubungan dengan Israel, dan sebelum ini, Qatar pernah mengadakan hubungan dagang dengan Israel, tetapi bertindak menutup pejabat perdagangan Israel di kemuncak perang di Gaza pada 2009.

The Times berkata Israel dan beberapa negara Arab kini giat menjalinkan hubungan ketenteraan dan keselamatan, disebabkan mereka berdepan dengan musuh bersama iaitu Iran.

Tahun lalu, rombongan Arab Saudi ke Israel diketuai seorang jeneral bersara berhasrat meningkatkan kerjasama itu.

“Lebih baik bekerjasama dalam isu ekonomi daripada melawan keganasan,” kata Menteri Pertahanan Israel, Avigdor Lieberman, yang mengalu-alukan kempen memencilkan Qatar.

Arab Saudi mengembeling beberapa negara Arab dalam usahanya memencilkan Qatar, selepas Doha dilihat berkecuali dalam permusuhan negara Arab dengan Tehran di samping bersimpati dengan Ikhwanul Muslimin, gerakan politik yang tidak disenangi agamawan Arab Saudi yang beraliran Wahabi.

Arab Saudi juga menuduh Qatar membiayai kumpulan yang didakwa sebagai “pengganas” dan juga tidak berpuas hati dengan laporan stesen Al Jazeera yang dibiayai Doha.

Awal bulan ini, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan UAE di samping beberapa negara lain memutuskan hubungan udara dan darat dengan Qatar, yang menjadi laluan penting untuk mendapatkan bekalan harian. Ia memaksa Qatar mendapatkan bekalan makanan dari Turki dan Iran.

Langkah memencilkan Qatar menerima sokongan pentadbiran Presiden Donald Trump, yang baru-baru ini menyertai Riyadh dan beberapa negara Islam termasuk Malaysia dalam persidangan mengenai keganasan.

Ia juga disambut baik bekas menteri pertahanan Israel dalam ucapannya mengingati peristiwa Perang 6 Hari pada 1967.

“Kami dan umat Arab, iaitu pihak sama yang berpakat dalam Perang 6 Hari untuk menghancurkan negara Yahudi ini, kini dalam kapal sama.

“Negara Arab Sunni, kecuali Qatar, rata-rata dalam kapal yang sama dengan kami kerana kami menganggap sebuah kuasa nuklear Iran adalah ancaman terhadap kita semua,” kata Moshe Ya’alon dipetik akhbar The Jewish Press.

Kami dan negara Arab Sunni dalam ‘kapal sama’, kata Israel