Imigresen tahan lebih 500 majikan upah PATI

mustafar-ali-1PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen menahan seramai 566 majikan kerana mengupah pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam tempoh 6 bulan pertama tahun ini, menurut Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.

Beliau berkata mereka ditahan atas kesalahan melindungi serta menggaji PATI mengikut Seksyen 56(1) dan Seksyen 55B di bawah Akta Imigresen 1959/1963.

Dalam tempoh sama, seramai 19,968 PATI melakukan pelbagai kesalahan turut ditahan.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, warganegara Indonesia dan Bangladesh adalah jumlah tertinggi iaitu 7,490 dan 4,065 orang.

Selain dikenakan hukuman, Mustafar berkata aset majikan juga boleh dibekukan sekiranya didapati bersalah.

“Trend sekarang majikan ambil PATI bekerja kerana mereka boleh bayar gaji lebih murah berbanding orang tempatan… mereka hanya fikirkan keuntungan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Mustafar berkata antara kesalahan yang sering dilakukan PATI adalah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas lawatan sosial, dokumen palsu dan pemegang kad yang tidak diiktiraf serta lain-lain kesalahan.

“Tindakan tegas akan diambil tanpa mengira kecil atau besar kesalahan yang dilakukan, ” katanya.

Beliau meminta majikan mendaftarkan PATI untuk mendapatkan kad sementara ‘Enforcement Card’ atau E-Kad sebelum 30 Jun ini atau berdepan tindakan tegas pasukan penguatkuasaan.

Program E-Kad bertujuan memenuhi permintaan majikan bagi mengisi keperluan tenaga kerja dalam sektor yang dibenarkan dan kad berkenaan hanya sah sehingga 15 Feb 2018.

Program yang diperkenalkan pada 15 Februari lalu itu dilaksanakan di Semenanjung Malaysia.

Pengeluaran E-Kad dilakukan oleh Jabatan Imigresen bagi membolehkan majikan membuat permohonan penggajian semula PATI secara sah.