Setahun selepas #TangkapMO1, Anis belum rancang protes seterusnya

#TangkapMO1,-AnisPETALING JAYA: Aktivis siswa yang menganjurkan perhimpunan #TangkapMO1 tahun lepas berkata tidak ada rancangan untuk mengadakan perhimpunan serupa, susulan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) memfailkan saman sivil pada 15 Jun untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) dikaitkan dengan 1MDB.

Anis Syafiqah Mohd Yusof berkata ia bukan masa yang sesuai untuk menganjurkan perhimpunan kerana pelajar sedang cuti semester.

“Saya akan teruskan, cuma dalam bentuk lain tetapi belum putuskan lagi. Saya kena berbincang dengan kumpulan dulu. Buat masa ini saya meningkatkan kesedaran melalui media sosial,” katanya kepada FMT.

Ogos tahun lalu, Anis digantung pengajian 1 semester, diberi amaran dan dikenakan denda RM400 kerana terbabit dalam himpunan #TangkapMO1 di ibu negara.

Himpunan yang diadakan di Dataran Merdeka itu dihadiri lebih kurang 1,000 peserta, mendesak pihak berkuasa mengesan, menangkap dan mendakwa “Malaysian Official 1” (MO1) yang disebutkan dalam siasatan DoJ terhadap penggelapan dana 1MDB.

Pelajar ‘takut’

Anis mengakui gerakan pelajar sekarang tidak begitu kuat dan perlu ditingkatkan disebabkan budaya takut yang dicipta oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (UUCA).

Beliau menganggarkan hanya 5% pelajar universiti terlibat dalam gerakan pelajar.

“Saya rasa apa yang terjadi kepada saya menjejaskan mereka. Mungkin mereka mengambil saya sebagai contoh,” katanya sambil menambah ia bukan halangan untuk beliau terus berjuang.

Mengulas mengenai UUCA, beliau berkata akta itu membentuk budaya takut untuk bersuara dalam politik yang menjadi punca Malaysia tidak melahirkan ramai pemimpin muda.

“Selain itu, zaman sekarang adalah zaman orang nak ‘hidup’, bukan tidak mahu aktif dalam politik tetapi kena jaga periuk nasi sendiri.

“Mereka belajar untuk dapat kerja, bukan salah mereka tetapi keadaan membentuk mereka jadi begitu. Dah dapat kerja pun masih takut hilang pekerjaan,” katanya.

Anis yang juga pelajar tahun akhir berkata beliau selalu bertegas kepada media dan pergerakan pelajar supaya lebih berdikari.

“Kita bukan kuda tunggangan mana-mana parti politik. Jika kerajaan atau pembangkang mengamalkan rasuah, kita akan bantah.

“Pelajar ada hak menyertai parti politik tetapi pihak universiti selalu menyalahkan gerakan pelajar,” katanya yang pernah mengkritik Pakatan Harapan berkenaan isu dalaman.

DoJ berkata sejumlah AS$4.5 bilion (kira-kira RM19 bilion) didakwa diseleweng daripada 1MDB.

Ia mahu merampas aset berjumlah AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) di AS dan tempat lain yang didakwa diperolehi menerusi dana diseleweng daripada 1MDB, antaranya lukisan mewah, kapal layar, barang kemas dan hak cipta 2 filem komedi.

Dokumen lebih 250 muka surat difailkan di sebuah mahkamah di California pada 15 Jun ialah yang kedua difailkan melibatkan dana didakwa dicuri dari 1MDB.

Ia turut menyenaraikan pelbagai barang kemas yang dihadiahkan kepada “isteri MO1”, termasuk sebuah kalung berlian bernilai RM116 juta.

 

Anis Syafiqah digantung 1 semester, akan terus berjuang