Kit Siang mahu laporan pasukan petugas mengenai skandal forex didedahkan

kit-siang

PETALING JAYA: Laporan pasukan petugas khas berkenaan kerugian Bank Negara Malaysia akibat dagangan mata asing perlu didedahkan sekiranya Kabinet merasakan ada keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja, kata Lim Kit Siang.

Pasukan tersebut, dipengerusikan bekas ketua setiausaha kerajaan Tan Sri Mohd Sidek Hassan ditubuhkan untuk menyiasat kerugian AS$10 bilion (bersamaan RM42 bilion mengikut kadar tukaran semasa, tetapi RM25 bilion ketika itu) yang dialami bank pusat itu antara 1991 dan 1993.

“Laporan pasukan petugas harus dibuka kepada orang ramai, sebagai langkah pertama memulihkan kebertanggungjawab dan tadbir urus baik di negara ini,” kata Lim dalam kenyataan hari ini.

Ketua ahli Parlimen DAP itu mempertikaikan mengapa ketiadaan akses kepada maklumat yang diperoleh pasukan tersebut dalam saranan mereka.

“Saya hairan dengan kenyataan Sidek dalam satu temubual dimana beliau membayangkan hanya suruhanjaya mempunyai akses kepada dokumen berkaitan kerugian forex dari kementerian kewangan dan BNM, kerana pasukan petugas “ditubuhkan secara pentadbiran dan tidak di bawah mana-mana undang-undang’.”

“Sidek berkata pasukan petugas hanya mempunyai akses kepada dokumen yang tersedia untuk orang ramai, seperti laporan tahunan BNM dan rujukan antara BNM dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF).”

Menurut Lim, Sidek juga berkata pasukan petugas itu tidak memaksa sesiapa tampil ke depan.

“Jika anda suruh mereka datang dan mereka tidak mahu datang, perkara itu bukan satu isu. Dan jika mereka datang dan kami soal mereka, dan sekiranya mereka enggan jawab kami tidak boleh buat apa-apa mengenainya,” kata Lim memetik kenyataan Sidek.

Lim berkata kenyataan itu mencadangkan pegawai kementerian kewangan dan BNM enggan bekerjasama dan menyediakan dokumen berkaitan isu itu.

“Jika begitu keadaannya, siapakah pegawai kementerian dan BNM itu dan adakah mereka dinamakan dalam laporan akhir pasukan petugas.

“Ini memberi sebab untuk mendedahkan laporan pasukan petugas kepada orang ramai,” katanya.

Melengkapkan kisah

Pemimpin DAP itu mencemuh Kabinet kerana obses dengan skandal yang berlaku 25 tahun lalu dan berkata mereka sepatutnya melengkapkan kisah skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lim dipanggil untuk memberi keterangan kepada pasukan petugas itu berdasarkan kepada kenyataannya di Dewan Rakyat sebagai ketua pembangkang pada 1990-an.

“Apabila saya dipanggil pasukan petugas pada 4 Mei, saya tegaskannya saya pertahan seruan kepada Parlimen pada April 1991 agar Suruhanjaya Siasatan Diraja ke atas kerugian forex BNM ditubuhkan, tetapi saya persoalkan sama ada Kabinet benar-benar berminat dengan prinsip kebertanggungjawaban dan tadbir urus baik?”

“Saya kata kerugian forex BNM itu mengajar kita mengenai ‘kegagalan’ menteri, pegawai tinggi kerajaan, ahli Parlimen dan media ketika itu untuk melaksanakan peranan menegakkan prinsip dan kebertanggungjawaban dan tadbir urus baik,” kata Lim.

Pada 21 Jun, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan mengenai keutpusan Kabinet, yang mengatakan pasukan petugas khas mendapati ada bukti secukupnya yang mewajarkan siasatan lanjut ke atas perkara itu.

“Penubuhan RCI ini akan membolehkan siasatan terperinci yang lebih menyeluruh dapat dilakukan berdasarkan lunas-lunas perundangan dan dilindungi di bawah Akta 119.”

PMO berkata penubuhan RCI bertujuan untuk menjaga kepentingan awam di mana kerugian sebenar BNM akibat urus niaga mata wang asing melibatkan rizab negara dapat dipastikan.

“Ini ialah kerana siasatan awal PPK mendapati jumlah kerugian adalah lebih besar daripada apa yang telah dilaporkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen,” kata PMO.