Melaka aktifkan jentera bantuan banjir

Idris-Haron_malaka_banjir_600

MELAKA: Kerajaan Melaka mengaktifkan jentera bantuan banjir bagi menyelaras dan memantau bencana berkenaan yang melanda beberapa kawasan di negeri ini terutama di Durian Tunggal di Alor Gajah dan Tehel di Jasin.

Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata misi bantuan banjir berkenaan akan dipengerusikan sementara oleh Pegawai Kewangan negeri Datuk Roslan Ibrahim kerana Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Naim Abu Bakar sedang bercuti.

“Kita telah bersiap sedia dan 4 kawasan pemindahan banjir di Durian Tunggal telah dibuka setakat ini dan jumlah mangsa yang dipindahkan agak ramai mungkin kerana ramai yang beraya di kampung.

“Banjir ini berlaku kerana hujan turun lebih 4 jam sejak dua hari kebelakangan ini dan menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Othman Muhamad di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bantuan banjir akan diagihkan kepada mangsa yang terlibat pada Khamis atau Jumaat ini selepas kerja penyelarasan dilaksanakan sepenuhnya.

Katanya penduduk di negeri ini terutama di kawasan yang kerap berlaku banjir disaran sentiasa berhati-hati dan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir di kawasan mereka ekoran hujan lebat berterusan melebihi beberapa jam.

Idris berkata mereka juga diharap mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak berlaku sebarang tragedi atau kemalangan yang boleh meragut nyawa kerana aliran deras mungkin berlaku terutama di kawasan saliran atau parit.

“Kita harap ibu bapa atau masyarakat sentiasa memantau perkembangan cuaca dan berada dalam keadaan bersiap sedia. Letakkan barangan berharga di tempat yang selamat sebagai langkah awal bagi mengelak kemusnahan harta benda,” katanya.

Seramai 149 mangsa banjir kilat di Alor Gajah dan Jasin ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara berikutan hujan lebat yang melanda sejak tengah malam tadi sehingga menyebabkan air Sungai Durian Tunggal, Sungai Melaka dan Sungai Tehel melimpah dan membanjiri 5 kawasan di negeri ini.