Paderi diculik militan IS dilihat hidup

isis_phlipin2

MARAWI: Paderi Roman Katolik yang diculik militan Islam yang merampas sebahagian dari sebuah bandar di selatan Filipina dilihat hidup, kata tentera Filipina hari ini, ketika askar meneruskan serangan mereka.

Pengeboman udara dan artileri di kawasan yang dikuasai militan IS di Marawi yang sebahagian besar penduduknya beragama Islam bersambung selepas gencatan senjata 8 jam pada Ahad untuk membenarkan penduduk meraikan berakhirnya bulan Ramadan.

Jurucakap tentera Leftenan Kolonel Jo-Ar Herrera berkata militan sengaja membakar rumah dan menggunakan bom buatan sendiri, jerangkap samar dan tebusan sebagai perisai manusia untuk melambatkan kemaraan askar, yang kini memasuki minggu kelima pertempuran.

Ratusan orang bersenjata mengibar bendera hitam IS menduduki sebahagian Marawi pada 23 Mei, mencetuskan pertempuran berdarah yang mengorbankan hampir 400 nyawa, menurut angka rasmi.

Teresito “Chito” Suganob, seorang paderi Katolik yang ditugaskan di Marawi, menjadi tebusan bersama beberapa orang pengikut pada tahap awal pengepungan.

Herrera berkata paderi itu dilihat masih hidup pada Ahad di bahagian bandar Marawi yang masih berada di tangan IS.

“Kami tidak mempunyai butiran kesihatannya, kami baru diberitahu yang dia dilihat masih hidup,” katanya kepada pemberita, berdasarkan keterangan orang awam yang diselamatkan dari zon pertempuran.

Beliau juga berkata terdapat kira-kira 100 tebusan awam yang masih berada di tangan orang bersenjata, digunakan sebagai “perisai manusia”, pembawa peluru dan pembawa tandu.

Pertempuran diteruskan hari ini, di mana pesawat tempur kerajaan dan pesawat lain dilihat melakukan pengeboman.

“Operasi serangan kami diteruskan dan akan berterusan sehingga kami dapat membebaskan Marawi dalam masa terdekat,” kata Herrera pada sidang akhbar di Marawi.

Beliau berkata mayat 2 militan dipercayai dari Timur Tengah berdasarkan ciri-ciri fizikal mereka ditemui di tempat kejadian serangan udara, satu lagi petanda di mana militan asing menyertai pertempuran.

“Pengganas asing yang terlibat dalam ppertempuran itu adalah pakar bom, yang membantu memasang bom pada bangunan dan rumah,” kata Herrera.

Lapan militan asing, termasuk dari Chechnya, Indonesia dan Malaysia, terbunuh pada awal pertempuran, kata kerajaan.

Herrera berkata mereka masih cuba mengesahkan laporan Isnilon Hapilon, seorang anggota militan veteran Filipina yang dikatakan pemimpin IS di Asia Tenggara, lolos dari Marawi meskipun ada kepungan tentera dan polis.

Percubaan pasukan tentera menangkap Hapilon di Marawi pada 23 Mei mencetuskan amukan militan IS.

Hapilon didakwa di Washington kerana terlibat dalam penculikan 3 orang Amerika di Filipina pada 2001.

Kerajaan AS menawarkan ganjaran AS$5 juta dan dia berada dalam senarai pengganas yang paling dikehendaki.