Krisis Qatar: Pembangkang gesa Malaysia ketuai mesyuarat tergempar OIC

wan-azizah-oicPETALING JAYA: Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini menggesa Malaysia mengadakan mesyuarat tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi mencari penyelesaian terhadap krisis membabitkan Qatar dan 4 negara Arab.

Presiden PKR itu berkata, mesyuarat itu boleh diadakan di Kuala Lumpur atau Kuwait untuk membincangkan langkah dan usaha perdamaian politik serta diplomatik antara Doha dan 4 negara Teluk itu.

“Putrajaya juga patut pertimbang menawarkan Malaysia sebagai perantara kepada negara-negara Islam yang sedang bertelingkah ini.

“Sebagai salah sebuah negara pengasas OIC dan mengambil kira Setiausaha Agung OIC pertama adalah Perdana Menteri Malaysia yang pertama, iaitu Tunku Abdul Rahman, maka Malaysia perlu menunjukkan kepimpinan yang diperlukan dunia Islam hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 Jun lalu, Arab Saudi, Mesir, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersama beberapa negara lain memutuskan hubungan diplomatik dengan Doha, selain menutup ruang udara dan laluan darat ke Qatar yang memaksa negara itu mendapatkan bekalan makanan dari Turki dan Iran.

Ia disusuli penyerahan 13 tuntutan oleh Kuwait – orang tengah dalam krisis itu, kepada Qatar pada Jumaat lalu yang menuntut penutupan agensi berita Al Jazeera dan pangkalan tentera Turki, memutuskan hubungan dengan Iran serta membayar ganti rugi kepada 4 negara Teluk itu dalam tempoh 10 hari.

Tuntutan itu bertujuan menamatkan dasar campur tangan luar Qatar yang didakwa menyokong organisasi disifatkan mereka sebagai “pengganas” serta bersimpati dengan kumpulan Ikhwanul Muslimin dan Iran.

Dr Wan Azizah turut menyeru Setiausaha Agung OIC, Dr Yousef Ahmad Al-Othaimeen memujuk 4 negara Arab itu mempertimbangkan tempoh 10 hari yang diberi kepada Qatar untuk memenuhi 13 tuntutan itu.

“Adalah diharapkan dengan langkah ini, kedua-dua pihak boleh mengadakan rundingan dan perbincangan yang lebih membangun dalam usaha mendamaikan keadaan.”

Ini syarat negara Arab kepada Qatar