Selangor fail injunksi halang inkuiri SPR

azmin-spr-3

PETALING JAYA: Kerajaan Selangor yang diketuai PKR memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjalankan siasatan ke-2 ke atas persempadanan semula di Semenanjung sehingga kesnya diputuskan mahkamah.

Ia juga mahu mahkamah mengeluarkan perintah untuk menghalang SPR menyerahkan laporan persempadanan semula kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang di bawah Perlembagaan Persekutuan akan membentangkan keputusan itu di Dewan Rakyat untuk mendapatkan kelulusan.

Peguam, Latheefa Koya berkata, hakim Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan akan mendengar permohonan itu pada 5 Julai ini.

“Selangor sebagai entiti Malaya tidak boleh dikecualikan apabila SPR mengemukakan laporannya kepada perdana menteri,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memfailkan 1 afidavit untuk menyokong permohonan yang dikemukakan pada 20 April lalu.

Timbalan presiden PKR itu berkata, tindakan SPR menerbitkan notis ke-2 untuk melakukan inkuiri ke-2 melanggar Perkara 113 (6) Perlembagaan yang menyatakan perlu ada semakan semula berasingan untuk negeri di Malaya, Sabah dan Sarawak.

Azmin berkata, semakan kehakiman Selangor yang difailkan tahun lepas bertujuan mengetepikan notis pertama dan memberi impak kepada semua negeri Malaya di bawah kajian semula.

“Tambahan, pemohon (kerajaan Selangor) juga meminta mandamus untuk mengarahkan SPR menerbitkan semula notis di bawah Seksyen 4 Jadual ke-13 Perlembagaan untuk mematuhi undang-undang bagi negeri-negeri Malaya di bawah kajian semula,” katanya dalam afidavit itu.

Aduan negeri itu ialah wujud salah pembahagian dan gerimander yang memihak kepada parti politik tertentu dalam merangka semula sempadan pilihan raya.

Azmin juga berkata, sudah ada 1 aduan di mahkamah berhubung daftar pemilih terkini tidak digunakan untuk persempadanan semula pada 2016.

“Aduan ini terpakai kepada semua unit semakan, bukan hanya Selangor.”

Beliau berkata, sekiranya semakan kehakiman Selangor dibenarkan, notis dan siasatan ke-2 akan menjadi sia-sia dan tidak sah.

Katanya, SPR perlu menunggu keputusan mahkamah berhubung permohonan semakan kehakiman itu.

Azmin berkata, SPR mempunyai masa mencukupi untuk menjalankan tugasnya kerana Perlembagaan menyatakan ia mempunyai 2 tahun dari September tahun lepas.

Beliau berkata, terdapat risiko sebaik sahaja siasatan tempatan selesai, SPR akan mengemukakan laporannya, dengan mengecualikan Selangor, kepada perdana menteri.

“Terdapat risiko di mana sebarang prosiding, termasuk permohonan semakan kehakiman menjadi akademik. Oleh itu, keseimbangan kemudahan dan keadilan memihak kepada pemohon,” kata Azmin.

Oktober lalu, kerajaan Selangor memfailkan permohonan di mahkamah untuk membatalkan notis persempadanan semula SPR dengan mendakwa ia melanggar Perlembagaan Persekutuan dalam merangka semula sempadan pilihan raya baru.

Di tengah-tengah perbicaraan semakan kehakiman, kerajaan memfailkan permohonan penemuan terhadap SPR.

Pada 9 Mac lalu, hakim Azizul menolak permohonan kerajaan Selangor untuk pemeriksaan balas Pengerusi SPR, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dengan alasan ia tindakan tidak berhasil.

Bagaimanapun, hakim membenarkan permohonan kerajaan negeri untuk memberi maklumat mengenai perubahan di kawasan pengundi dalam 2 persempadanan semula terakhir pada 1993 dan 2004.

Kedua-dua pihak sudah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu yang dijangka didengar pada 20 Julai ini.

Selangor dibenar cabar persempadanan semula SPR

Persempadanan semula: Mahkamah Tinggi benarkan permohonan Selangor