Bolehkah cukai pelancongan dilaksana 1 Ogos?

pk-leong-tourist

PETALING JAYA: Penangguhan cukai pelancongan menyebabkan persatuan hotel mempersoalkan adakah mekanisme yang diperlukan untuk mengutip cukai itu akan siap walaupun tarikh akhir baharu ditetapkan 1 Ogos.

“Tiba-tiba dari 1 Julai ia ditangguhkan hingga Ogos. Sasaran lain sudah ditetapkan,” kata Presiden Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) PK Leong kepada FMT.

Leong bertanya sama ada cukai pelancongan boleh dilaksanakan menjelang Ogos memandangkan terdapat antara 10,000 dan 12,000 hotel dan jenis penginapan lain yang dikehendaki mengutip cukai itu.

“Bagaimana semua perkara ini akan diselesaikan?”

Oleh kerana penduduk tempatan tidak lagi perlu membayar cukai pelancongan di hotel bertaraf 3 bintang dan ke bawah, beliau khuatir banyak hotel bertaraf 4 bintang akan menurunkan taraf untuk mengelakkan cukai, lantas mewujudkan “gangguan dalam pasaran”.

Leong berkata tidak adil Airbnb tidak tertakluk kepada cukai itu sementara hotel yang membayar GST, cukai korporat dan fi lesen dikehendaki membayarnya.

“Mengapa kerajaan menghukum warga korporat yang sudah membayar pelbagai cukai kepada mereka?” Katanya.

Beliau memberitahu FMT, persatuan itu masih menunggu perbincangan aktif dengan Kementerian Kewangan dan pihak berkuasa berkaitan untuk menyuarakan pandangannya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Sam Cheah Swee Hee berkata, jabatan kastam tidak memberikan sebarang petunjuk tentang pelaksanaan Rang Undang-Undang Cukai Pelancongan yang diluluskan di Dewan Rakyat 6 April lalu.

“Tiada apa yang diberikan tentang pelaksanaannya. Semua maklumat yang kami dapat adalah dari media,” katanya kepada FMT.

Cheah menambah pendirian persatuan itu tetap sama: hotel tidak perlu mengutip cukai itu.

Dalam laporan Sin Chew Daily, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz berkata pelaksanaan cukai pelancongan ditangguhkan hingga 1 Ogos memandangkan sistem terbabit belum siap sepenuhnya.

Nazri menambah warga asing tertakluk kepada cukai pelancongan, manakala penduduk tempatan yang menginap di hotel bertaraf 3 bintang dan ke bawah akan dikecualikan daripada membayar cukai itu.

Menurutnya, kastam akan bertanggungjawab mengutip cukai pelancongan. Nazri berkata tarikh itu disasarkan, tetapi ia terpulang kepada kastam untuk memastikan cukai itu dilaksanakan dengan lancar.

Cukai pelancongan pada asalnya dibahagikan kepada 4 kategori – RM20 dikenakan setiap malam untuk hotel 5 bintang dan RM10 untuk 4 bintang, RM5 untuk 3 bintang dan RM2.50 untuk hotel 2 bintang dan ke bawah.

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/27/cukai-pelancongan-ditangguh-1-ogos-kata-nazri/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/09/cukai-pelancongan-mulai-1-julai/

http://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2017/06/21/rakyat-mungkin-dikecualikan-cukai-untuk-hotel-3-bintang-ke-bawah/