Miranda Kerr patut simpan barang kemas, kata pegawai JASA

jasa-miranda-kerr

PETALING JAYA: Seorang ahli panel Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) hari ini mempersoalkan tindakan Miranda Kerr memulangkan barang kemas bernilai lebih RM35 juta kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ), dengan berkata selebriti Australia itu sepatutnya memulangkannya kembali kepada ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho, atau Jho Low.

“Apa yang akan dilakukan oleh DoJ dengan barangan kemas tersebut?” soal Tun Faisal Ismail Aziz, yang merupakan pengarah strategik komunikasi JASA, unit propaganda yang ditempatkan di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

“DoJ belum mendapat hak untuk mengambil alih aset ini. Jika mengikut proses perundangan, lebih wajar Kerr menyimpan dahulu barangan kemas tersebut atau mungkin lebih wajar memulangkannya kepada Jho Low sehingga DoJ mendapat perintah mahkamah dan mendapat hak untuk menyimpan dan mengambil alih barangan kemas ini,” katanya.

DoJ memfailkan saman sivil tahun lepas dan awal bulan ini, menuntut aset yang dikatakan dibeli dengan wang yang dicuri dari 1MDB.

Barang kemas milik Kerr merupakan antara aset bernilai AS$1.7 bilion yang dinamakan dalam dokumen DoJ setebal 251 muka surat yang difailkan di sebuah mahkamah California bulan ini.

Tun Faisal turut mempersoalkan kebenaran laporan DoJ mengenai set barangan kemas yang didakwa diterima atau disimpan isteri “Malaysian Official 1” (MO1).

“Barangan kemas yang didakwa diterima oleh isteri MO1 hanya sekadar cerita dalam aduan pengadu, tiada bukti ia dibeli menggunakan wang 1MDB yang didakwa dicuri, tiada bukti ia diserahkan kepada isteri MO1 dan tiada bukti kesemua set barangan kemas ini disimpan oleh isteri MO1.

“Ia juga tidak disenaraikan sebagai aset yang hendak diambil alih oleh DoJ. Segala ini membuktikan DoJ sendiri tidak pasti mengenai kebenaran cerita pengadu,” katanya.

Menurut DoJ, kira-kira AS$1.3 juta (RM5.5 juta) dalam dana boleh dikesan kepada penyalahgunaan pinjaman Bank Deutsche untuk membeli 27 barang kemas bagi isteri MO1 pada 2014.

Tun Faisal menjelaskan dakwaan terhadap isteri MO1 itu berbeza dengan situasi Kerr, yang memang “terbukti menerima pemberian Jho Low” dan dinamakan dalam saman sivil DoJ.