Tubuhkan badan bebas untuk pendatang lapor polis korup

Aegile-Fernandez-teganitaPETALING JAYA: Kerajaan perlu menubuhkan badan bebas untuk pendatang asing melaporkan anggota polis korup yang memeras mereka, kata Tenaganita.

Pengarah Aegile Fernandez kata pendatang asing sering menjadi mangsa anggota polis yang melakukan pemeriksaan tidak sah di mana banyak kes membawa kepada pemerasan wang.

“Perlu ada saluran bebas yang jelas untuk mangsa membuat laporan,” kata Fernandez kepada FMT sambil mencadangkan pendatang asing merujuk kepada Suhakam sebagai saluran untuk membuat laporan.

Fernandez mengulas kes 3 polis peronda yang dikenakan tindakan disiplin selepas dimarahi ketua polis negara yang mengesan mereka melangkaui kuasa dengan memeriksa seorang pendatang asing wanita.

Tan Sri Khalid Abu Bakar yang memandu bersendirian kira-kira 4.30 petang Selasa lalu, ternampak 3 anggota peronda itu memeriksa seorang pendatang asing wanita di bulatan di Semenyih, Selangor.

Akibatnya, 3 anggota polis itu diarah melakukan kawad bersenjata selama 2 jam, mulai 11 pagi hingga 1 tengah hari di Balai Polis Semenyih dan dipindahkan untuk menjaga kaunter pertanyaan selama sebulan.

Fernandez berkata kes seperti itu bukan perkara baru dan ramai pendatang asing menjadi mangsa anggota polis korup.

“Ramai pendatang asing tidak ada dokumen sah, lalu memudahkan anggota polis yang korup memeras wang mereka,” tambahnya.

Beliau berkata anggota polis yang korup menyasarkan dan berulang kali memeras wang dari pendatang asing yang sama.

Pengalaman mangsa

Muhammad (bukan nama sebenar), seorang pekerja pembinaan berusia 22 dari Indonesia yang bekerja di Malaysia sejak beberapa tahun lalu, mendakwa sudah terbiasa diperas anggota polis.

Katanya beliau selalu diganggu anggota polis yang meminta wang atau beliau akan dihantar pulang ke negaranya.

Berkongsi pengalamannya, beliau mendakwa pemerasan selalunya melibatkan beberapa anggota, dan menambah mereka melakukan pemeriksaan di kawasan terpencil pada lewat malam.

Muhammad pernah bertembung dengan sekumpulan anggota polis di Putrajaya sekitar 1.30 pagi, dan mereka mengambil setiap sen yang ada padanya. Nasibnya malang kerana diperas pada hari gaji.

“Mereka berpakaian seperti orang biasa dan mendakwa mereka sedang melakukan kerja penyamaran.

“Mereka akan menaiki kereta polis dan tahan kamu. Bila mereka dapati kamu pendatang tanpa izin, mereka akan tangkap dan bawa kamu menaiki kereta bersama mereka,” katanya.

Di dalam kereta, mereka akan memaksa beliau menyerahkan semua wangnya.

Muhammad menambah beliau terpaksa kerana tidak mahu dihantar pulang ke Indonesia.