Siapa undang campur tangan asing, Matthias cabar Nasrudin

Mathias-ChangPETALING JAYA: Peguam Matthias Chang yang sebelum ini didakwa mensabotaj ekonomi Malaysia kerana tindakannya melaporkan isu 1MDB dengan polis beberapa negara, hari ini mencabar seorang pemimpin PAS untuk menyatakan sama ada beliau antara yang dimaksudkan sebagai “individu” yang mempelawa campur tangan asing.

Chang mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan yang mempersoalkan motif mereka yang membuat aduan kepada pihak berkuasa luar negara sehingga mencetuskan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang baru-baru ini mengeluarkan dokumen 251 muka surat mengenai kecurian dana 1MDB untuk membeli aset mewah.

Chang menawarkan Nasrudin AS$1 juta sekiranya dapat membuktikan beliau terbabit berpakat dengan pihak berkuasa AS dalam isu 1MDB, seperti dituduh beberapa blog pro-kerajaan.

“Saya mencabar Nasrudin menyatakan sama ada dia merujuk kepada saya dan Khairuddin,” katanya kepada FMT, merujuk bekas naib ketua Umno bahagian, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, yang turut didakwa 2 tahun lepas atas tuduhan mensabotaj ekonomi.

Kedua-dua mereka sebelum ini membuat laporan polis di Paris, London, Switzerland, Hong Kong, dan Singapura, menyeru pihak berkuasa negara masing-masing menyiasat transaksi haram dana 1MDB.

Mereka kemudian ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) sebelum dibebaskan dan dibicarakan di bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaaan.

Chang berkata sekiranya Nasrudin gagal membuktikan pembabitannya, Nasrudin perlu mengunjung mana-mana masjid untuk mengisytiharkan kesalahannya dan memohon taubat.

Semalam, Nasrudin menyokong pendirian Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tidak mahu DoJ dan pihak berkuasa asing “campur tangan” urusan 1MDB.

“Saya difahamkan bahawa telah ada dalam pengetahuan awam dan belum dinafikan oleh individu-individu terbabit bahawa merekalah yang pergi ronda buat aduan di Paris, Switzerland dan AS supaya pihak luar ambil tindakan terhadap isu 1MDB.

“Soalnya, apa motif mereka buat aduan di US mengenai isu 1MDB? Kenapa singkat akal mereka, lapor hal negara kita kepada Amerika yang berlagak polis dunia itu? Kita tahu ada pihak yang sengaja jemput AS campur tangan isu dalam negara kita,” kata ahli Parlimen Temerloh itu.