Graduan perubatan terkejut arahan ‘kembali ke sekolah’, lulus BM

doctor_spm

PETALING JAYA: Seramai 300 graduan perubatan dari institusi swasta yang menunggu giliran penempatan di hospital kerajaan terkejut dengan arahan perlu “kembali ke sekolah” dan lulus subjek Bahasa Melayu (BM) peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mengikut arahan dikeluarkan, graduan perubatan perlu lulus BM SPM untuk diterima menganggotai jawatan tetap kerajaan.

Menurut graduan-graduan terbabit, kelayakan BM O-Level atau Bahasa Kebangsaan A (BKA) sebelum ini diterima untuk kemasukan ke perkhidmatan awam, tetapi mulai 1 Januari tahun ini, mereka yang berkelayakan itu ditolak tanpa sebarang pengecualian.

Para graduan diberitahu supaya memperoleh sijil SPM jika mereka mahu jawatan tetap kerajaan.

Salah seorang yang terlibat, yang enggan namanya dipetik berkata dia memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk tujuan penempatan pada September tahun lalu selepas memperoleh kelulusan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

“Pada bulan Disember, seorang pegawai SPA memberitahu, saya tidak melalui proses pemeriksaan kerana saya tidak mempunyai kelulusan BM peringkat SPM atau setara,” katanya.

Pegawai itu memberitahunya bahawa dari Januari 2017, kertas BKA tidak diterima sebagai alternatif kepada BM SPM untuk pengambilan ke dalam perkhidmatan awam.

Bagaimanapun, di Jabatan Pelajaran Selangor, dia diberitahu yang dia tidak boleh memperoleh sijil BM peringkat SPM melainkan jika dia mengambil 6 subjek teras dan lulus BM dan Sejarah. Mata pelajaran lain yang perlu diambil adalah Matematik, Bahasa Inggeris, Sains dan Moral.

Graduan terbabit berkata keperluan itu mengecewakan dan seolah-olah seperti kembali ke sekolah menengah.

Seorang lagi yang menamatkan pengajian Julai tahun lepas berkata, MMC dan SPA menganggap kelayakannya selesai pada bulan Ogos apabila dia memohon.

“Bagaimanapun, pada bulan Disember, seorang kawan memberitahu yang kami tidak boleh menghadiri temu duga di SPA kerana kami tidak mempunyai kelulusan BM peringat SPM,” kata graduan yang enggan mendedahkan namanya.

Dia berkata, pemeriksaan dengan SPA mengesahkan perkara itu. SPA juga memaklumkan yang mereka hanya menyedari perubahan dalam keperluan apabila menerima Pekeliling JPA 1/2016 daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Mengikut e-mel yang diterima daripada Kementerian Kesihatan, peraturan keperluan BM SPM untuk memasuki perkhidmatan awam sebagai pembantu perubatan telah dilonggarkan pada tahun 2003 dan BM O-Level diterima, tetapi pengecualian itu dikeluarkan mulai tahun ini.

“Sekiranya terdapat terlalu ramai graduan dan mereka mahu mengehadkan bilangan, mereka perlu membuat perancangan. Kami tidak diberi notis,” katanya.

Ketika dihubungi, SPA berkata ia hanya melaksanakan keperluan yang ditetapkan JPA, di mana ia berdasarkan kepada keputusan Kementerian Kesihatan.

SPA berkata untuk meringankan keadaan, ia melonggarkan keperluan untuk graduan perubatan supaya mereka tidak memerlukan BM SPM hanya untuk pekerjaan kontrak tetapi bukan jawatan tetap.

Menurut e-mel dari JPA, dari 1 Oktober tahun lepas, pelantikan pembantu perubatan gred UD41 telah dilaksanakan secara kontrak.

Jabatan itu berkata, langkah tersebut adalah untuk membolehkan graduan perubatan yang tidak mempunyai kelulusan BM SPM untuk berkhidmat sebagai pegawai perubatan, mendapatkan sijil pendaftaran penuh.

JPA berkata, jika calon mahu memohon jawatan tetap, maka kelulusan BM peringkat SPM diperlukan.